Oleh Rusnizam Mahat
SHAH ALAM - Keputusan Sultan Selangor menggantung darjah kebesaran yang dianugerahkan kepada bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik dan bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (PKFZ), Phang Oi Chooi wajar diteladani oleh pimpinan Umno-Barisan Nasional di negeri itu.
Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, keputusan itu menunjukkan kemurkaan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah kepada individu terbabit yang didakwa atas kesalahan pecah amanah berhubung projek PKFZ yang menyebabkan kerugian berbilion ringgit.
"Keputusan Sultan ini berdasarkan kepada alasan kukuh untuk menggantung pingat kebesaran kepada individu berkenaan. Ini kerana pangkat dan pingat dari Sultan hanya diberi kepada mereka yang jujur dan berbakti kepada negara dan bukannya pengkhianat dan petualang yang tidak diterima oleh rakyat," katanya kepada Suara Keadilan.
Beliau berkata keputusan baginda harus diteladani pimpinan Umno lain yang sering dikaitkan dengan pelbagai skandal dan salahguna kuasa termasuk bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Khir Toyo semasa memegang jawatan itu.
"Kaedah penarikan balik darjah kebesaran ini seharusnya menyebabkan pimpinan yang di sekeliling merasa malu dan insaf supaya mereka tidak melakukan kesilapan serupa.
"Kes ini menunjukkan kemurkaan Sultan terhadap mereka yang dituduh sebagai tidak amanah dan seharusnya memberi kesan kepada yang lain," ujar beliau.
Liong Sik yang dianugerah Darjah kebesaran Dato' Paduka Mahkota Selangor (DPMS) yang membawa gelaran Datuk pada 1992 didakwa atas pertuduhan di bawah seksyen 418 dan 417 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Putrajaya yang membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau keduanya sekali jika sabit kesalahan.
Beliau didakwa menipu kerajaan Malaysia dengan memperdaya Jemaah Menteri berhubung pembelian tanah untuk projek di Pelabuhan Klang dan secara curang menyembunyikan fakta berhubung penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan ke atas tanah seluas 43,538,200 kaki persegi yang dicadangkannya.
Manakala Oi Chooi yang dianugerah Darjah Kebesaran Dato' Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (DSSA) bergelar Datin Paduka didakwa atas pertuduhan di bawah seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun kerana dituduh melakukan pecah amanah membabitkan RM98,700,00 di Lembaga Pelabuhan Klang antara 1 Oktober dan 5 September 2005.
Dia dituduh dengan dua lagi tuduhan serupa masing-masing melibatkan RM21,600,000 dan RM134,550,000, yang didakwa dilakukan di tempat yang sama antara 30 Sept 2005 dan 9 Mei 2006 dan antara 1 Jun 2005 dan 13 Jan 2006.
Menurut satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, penggantungan gelaran dan penggunaan darjah kebesaran ini akan disemak semula setelah mahkamah memutuskan kedua-dua mereka tidak bersalah dan dibebaskan atas pertuduhan.
"Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor membuat keputusan di atas setelah mempertimbangkan bahawa kesalahan-kesalahan yang dipertuduhkan ke atas kedua-dua mereka ini adalah kesalahan serius yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara," jelas kenyataan itu lagi.