Jumaat, 3 September 2010

Selangor Anjur Sahur Perdana Bersama Pemimpin Tertinggi KEADILAN, PAS


SUARA KEADILAN | SHAH ALAM - Kerajaan Negeri Selangor buat pertama kalinya menganjurkan Majlis Sahur Perdana yang akan diadakan esok di Kompleks Belia dan Kebudayaan negeri Selangor, Seksyen 7 Shah Alam.

Menurut Exco Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hassan Ali, majilis ini merupakan salah satu pengisian Ehya' Ramadhan yang kini begitu rancak berjalan di seluruh 531 masjid dan 1980 surau di seluruh Selangor.

Ini tidak termasuk program Ehya’ Ramadhan anjuran berbagai pertubuhan dan badan-badan bukan kerajaan lain.

"Majlis ini disamping membina kekuatan dalaman serta penyucian jiwa juga bertujuan untuk menghimpun umat Islam khasnya dalam satu perhimpunan untuk sama-sama mengabdikan diri kepada Allah SWT disamping menemukan dalam suasana yang syahdu diantara pemimpin dengan berbagai golongan rakyat," kata Dr Hassan dalam satu kenyataan.

Majlis Sahur Perdana tersebut akan diisi dengan Qiyamullail, makan sahur bersama, Solat Subuh berjamaah serta siri ucapan tetamu-tetamu yang dijemput khas seperti Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Pejabat Exco Hal Ehwal Islam yang bertanggungjawab menerajui program ini yakin bahawa program yang julung-julung kalinya diadakan di negeri ini akan mendapat sambutan hangat di luar dugaan.

"Ini memandangkan program yang sama berskala lebih kecil yang diadakan di Gombak dua minggu yang lalu menerima kehadiran mencecah 2,000 orang," tambah beliau.

Dr Hassan membayangkan sekiranya majlis ini berjaya ianya akan dijadikan acara tahunan dengan merangkumi kesemua 9 daerah di dalam negeri ini.

"Usaha seperti ini adalah untuk menjelmakan satu lagi budaya kecil dalam kehidupan masyarakat bagi menghayati Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap," tambah beliau.

Related Posts with Thumbnails