Isnin, 4 April 2011

SHAFIE PUNCA SEMPORNA MUNDUR

Oleh: ABBAS AHMAD


SabahKini | MENTERI Kemajuan Luar Bandar, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dikhuatiri menjadi punca utama kenapa Semporna mundur dan kotor sekalipun menjadi ‘pintu masuk’ industri pelancongan Sabah yang bernilai lebih RM6 billion setahun.

Pengerusi Local Community Forum-Taman Marin Tun Sakaran (LCF-TMTS), Abdullahsani Haji Abdul Salleh menjenamakan Shafie sebagai pemimpin spesis ‘Ikan Kuhatong’ (ikan Kerapu-Keratang yang besar) menelan semua ikan kecil demi untuk mencapai cita-citanya menjadi Ketua Menteri Sabah.

“Akibat terlalu ghairah mengumpul pengaruh, beliau gagal membangunkan Semporna sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa seperti Langkawi sedangkan Semporna mempunyai segala pakej yang diperlukan,” ujar Abdullahsani yang kesal dengan sikap Shafie terlalu mengamalkan politik wang sehingga dianggap sebagai ‘Sultan’ di kalangan pendatang asing tanpa izin yang mendatangi rumahnya untuk mendapat wang antara RM10 hingga RM20.

Menurut Abdullahsani, beliau hairan kenapa begitu ramai PATI menunggu kedatangan beliau sehingga sanggup berbaris di tengah panas semata-mata untuk mendapatkan habuan yang sudah menjadi budaya di Semporna sejak ‘pemerintahan’ anak raja Bolongan, Tun Sakaran Dandai.

“Kini penduduk tempatan pun sudah menjadi peminta sedekah terutama ketika musim pilihanraya atau pemilihan UMNO,” ujar Abdullahsani yang kesal kerana wang adalah segala-galanya di Semporna dan menjadi asas pengaruh politik Shafie dan suku sakatnya.

Abdullahsani tidak tahu daripada mana Shafie memperolehi wang begitu banyak untuk ditaburkan setiap kali beliau pulang ke Semporna, kerana SPRM tidak pernah menyiasat beliau; namun percaya daripada ‘komisyen’ mengkendurikan projek NKRA yang sebelum ini di bawah tadbir urus beliau selaku Menteri KKLW. 

“Saya agak lucu apabila mendengar bahawa para pengikut fanatiknya berkata bahawa sekarang Shafie menteri luar oleh itu dia tidak ada kuasa, tunggulah jika beliau jadi Ketua Menteri Sabah, baru kita senang,” kata Abdullahsani yang tidak dapat menahan ketawa kerana Shafie berjaya memperdaya pengikut akar umbinya bahawa beliau hanya menteri ‘luar’ walhal beliau adalah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah tetapi hanya mempopularkan ‘Menteri Luar’ dan langsung tidak menyebut ‘Bandar dan Wilayah’.

Tegas Abdullahsani, beliau mencabar agar Shafie bersumpah dengan Al-Quran jika beliau tidak mempunyai niat untuk menghapuskan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman daripada persada politik Sabah.

“Apa yang beliau lakukan selama ini sudah cukup untuk membuktikan beliau telah merancang beberapa kudita termasuk memberi projek dan menghantar anak saudaranya ke Hong Kong untuk mengumpul bukti bagi menyingkirkan Musa dalam kes Penggubahan Wang Haram Michael Chia yang dikatakan mengaitkan Ketua Menteri Sabah, namun sehingga kini Tuhan tidak makbulkan niat jahat beliau,” kata Abdullahsani yang berjanji akan mendedahkan lebih banyak bukti ketika tiba masanya.

Sehubungan itu, kata Abdullahsani, Shafie tidak perlu lagi menjual ubat di kaki lima dengan mendakwa Semporna maju di bawah jajahan takluknya sedangkan jenayah berleluasa, sampah sarap semakin menimbun dan penculikan mula menjadi hobi PATI di TMTS dan 30 tahun lebih mundur daripada Langkawi.

Tegas Abdullahsani, tiba masanya Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang selama ini dipanggil ‘Bro’ atau ‘Brother’ oleh Shafie, mengambil langkah tegas agar Shafie menunaikan janji politiknya yang tertunda sejak penggal pertama menjadi Ahli Parlimen.

“Jika Shafie gagal membangunkan Semporna, bagaimana beliau boleh memajukan Sabah, melainkan memajukan sanak saudaranya melalui pemberian kontrak secara runding terus seperti 16 NKRA seperti yang saya dedahkan sebelum ini,” ujar Abdullahsani yang lucu kerana dua beradik, Shafie dan Yusof Apdal telah memperdaya Najib dan Kementerian Kewangan dengan memfaraidkan projek KKLW kepada kroni mereka demi untuk kepentingan politik mereka sendiri.
Related Posts with Thumbnails