ALOR SETAR - Ungkapan ‘Beruk panjat pokok nyok’ yang diucapkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak ketika menggambarkan tindakan Kerajaan Pusat membawa pulang pelajar Malaysia di Mesir dalam Ops Piramid, mencetuskan kemarahan wakil rakyat Barisan Nasional (BN).
Azizan bagaimana pun, pada sidang media selepas Sidang DUN berakhir, memperjelaskan maksud sebenar ungkapan itu.
“Itu hanya istilah orang tua yang bermaksud buat kerja tak habis. Macam kita upah orang naik pokok kelapa, tetapi kita tak bayar upah turun. Maksud saya ialah Kerajaan Pusat bawa pelajar pulang dengan pembiayaan ditaja, tetapi tidak biaya perjalanan pulang,” katanya.
Menurutnya, wakil rakyat BN tidak perlu melenting dengan ungkapan itu kerana ia bukannya sesuatu yang salah, malah digunakan oleh masyarakat terdahulu untuk menggambarkan sesuatu keadaan.
Azizan berkata, tindakan Kerajaan Pusat yang tidak berunding dengan Kerajaan Negeri terlebih dahulu menyebabkan timbulnya banyak masalah lain, termasuk setiap negeri terpaksa mengeluarkan peruntukan bagi kos penghantaran pulang pelajar.
“Syukur Kerajaan Negeri ada peruntukan untuk membiayai perjalanan pulang pelajar dengan menyewa tiga pesawat Egypt Air penerbangan terus KLIA ke Mesir. Perumpamaan itu sekadar gambaran Kerajaan Pusat lepas tangan dalam penghantaran pulang pelajar,” katanya.
Menurutnya, kenyataan pemimpin BN sebelum ini yang mahu negeri-negeri bawah Pakatan Rakyat (PR) mengurus sendiri penghantaran pulang pelajar terbabit diibaratkan sebagai sikap tidak bertanggung jawab.
“Kedah juga sebahagian daripada Malaysia, kenapa pula diberi layanan seperti itu. Lainlah jika negeri bawah BN dan bawah PR adalah dua buah negara berasingan,” katanya.[SH]