Rabu, 6 April 2011

Lynas Kekal Operasi, Hanya Ditutup Jika Langgar Had Radiokatif


KUANTAN 6 APRIL : Lynas Corporation akan kekal di kawasan perindustrian Gebeng melainkan loji pemprosesan RM700 juta itu gagal memenuhi keperluan keselamatan, kata Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB).

AELB merupakan antara beberapa agensi pusat dipelawa oleh kerajaan Pahang untuk meredakan kebimbangan penduduk berhubung operasi loji itu yang akan bermula suku ketiga tahun ini.

Lojinya sedang dalam proses pembinaan.

Malam tadi, Ketua Pengarah AELB Raja Datuk Abdul Aziz Raja Adnan mengakui tiada satu keperluan keselamatan tetap berhubung aspek radiasi.

Sebaliknya kata beliau, paras torium dalam bahan mentah yang akan digunakan untuk tujuan pemprosesan akan dijadikan sebagai petunjuk.

“Perkara utama menjadi perhatian ialah sisa buangan,” kata beliau merujuk kepada elemen radioaktif yang ditemui dalam semua lapisan nadir bumi.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas dialog awam dengan penduduk tempatan, kata beliau, kelulusan AELB, membabitkan lima anggota, adalah berdasarkan penilaian kes demi kes.

Bagaimanapun tegas beliau, Lynas bertanggungjawab kepada standard yang ia janjikan.

“Jika kadar torium dalam bahan mentah melebihi 0.16 peratus, kami akan menarik balik lesen,” kata beliau kepada 300 orang yang menghadiri dialog semalam.

Raja Aziz juga memberitahu pemberita bahawa Lynas harus berpegang kepada 500 ppm torium dalam bahan buangan dan jika tidak akan diminta menutup operasinya.

Pertemuan malam tadi dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Negeri Pahang selepas penduduk Kuantan, pertubuhan bukan kerajaan dan wakil rakyat-wakil rakyat membantah operasi loji atas alasan bimbang dengan risiko bahaya radiasi.

Kebimbangan itu meningkat selepas krisis loji tenaga nuklear ekoran bencana berganda tsunami dan gempa bumi di Jepun bulan lalu.

Raja Aziz juga berkata sementara tiada standard radiasi yang tetap, mengurangkan kadar yang boleh diterima berbanding dengan apa yang dijanjikan oleh Lynas bermakna industri berat lain di Pahang seperti kilang kenderaan dan loji penapisan minyak juga perlu ditutup.

Bagaimanapun katanya, pengajaran dari krisis Bukit Merah di Perak dan asas kes-kes kanser yang dibangkitkan akan diambil kira.

Data-data yang diperoleh akan digunakan sebagai tanda aras, katanya.

Lynas secara berulang kali mengatakan bahawa nadir bumi yang pihaknya gunakan hanya mempunyai 1,600 ppm torium iaitu 50 kali lebih rendah berbanding bahan mentah yang digunakan di Bukit Merah.-malaysianinsider
Related Posts with Thumbnails