KUALA LUMPUR : Menantu kepada Ketua Menteri Sarawak, Datin Seri Shahnaz Abdul Majid memohon waran tangkap terhadap suaminya, Datuk Seri Mahmud Abu Bekri Abdul Majid berikutan kegagalannya menghadiri perbicaraan kes tuntutan fasakh dan juga harta sepencarian.
Permohonan itu dibuat peguam yang mewakili Shahnaz, Dr Mohd Rafie Shafie pagi tadi.
Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur menetapkan hari ini sebagai tarikh perbicaraan kes tuntutan harta sepencarian dan tuntutan ganti rugi.
Peguam yang mewakili Abu Bekir, Saadiah Din memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya tidak dapat hadir berikutan masih belum pulih daripada pembedahan bahunya di United Kingdom pada 15 Mac lalu.
Bagaimanapun, apabila peguam Rafie meminta sijil sakit, yang sepatutnya diserahkan kepada peguam plantif, Saadiah gagal berbuat demikian.
Berikutan itu, Hakim Abdul Walid Abu Hassan mengingatkan Saadiah supaya menasihati anak guamnya agar mematuhi prosedur mahkamah dan memastikan kehadiran Abu Bekir.
Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 11 Mei depan untuk sebutan bagi mahkamah menetapkan tarikh perbicaraannya.
Dalam pada itu, peguam Rafie memohon supaya prosiding perceraian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi yang sama.
Pada masa ini, permohonan perceraian Shahnaz didengar oleh Mahkamah Rendah Syariah.
Abu Bekir, telah memfailkan permohonan perceraian yang berasingan, juga didengar oleh Mahkamah Rendah Syariah.