Khamis, 2 Disember 2010

MB Selangor: GAPS boleh serah memo, hadapi saman jika fitnah


Tan Sri Khalid Ibrahim mengalu-alukan Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) yang merancang untuk mengemukakan memorandum berhubung penyelewengan didakwa dilakukan oleh pentadbirannya kepada Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun Menteri Besar Selangor (gambar) memberi amaran kumpulan itu akan berhadapan dengan tindakan perundangan jika dakwaan mereka didapati tidak benar.

“Jika (dakwaan) itu benar, mereka boleh teruskan dan lakukan,” kata Khalid kepada pemberita di sini hari ini.

“Tetapi jika ia (didapati) fitnah dan dendam, mereka boleh disaman,” kata beliau.

GAPS mahu menyerahkan memorandum bantahan mengenai 30 penyelewengan kerajaan Selangor kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengerusi GAPS Hamizun Khairuddin berkata kira-kira 2,000 orang akan menyertai perarakan menghantar memorandum kepada Sultan Selangor di Istana Bukit Kayangan esok.

Memorandum yang sama juga akan dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong Ahad ini selepas siri perhimpunan aman yang dijadualkan berlangsung di ibu negara iaitu di sekitar Masjid Jamek, katanya.

GAPS merupakan gabungan 50 badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Majlis Belia Selangor, Perkasa Selangor dan persatuan-persatuan dari kaum Cina dan India di negeri itu yang ditubuhkan sejak dua bulan lepas.

Hamizun berkata memorandum itu menyenaraikan 30 penyelewengan yang didakwa dilakukan oleh kerajaan Selangor termasuk isu pembaziran wang rakyat membeli hutang syarikat korporat Talam Corporation, merampas tanah hak rakyat Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK), salah guna wang oleh Yayasan Selangor dan kegagalan menguruskan bekalan air di negeri itu.

Beliau berkata memorandum berkenaan juga akan disertakan dengan dokumen dan bukti bertujuan mendedahkan penyelewengan yang dilakukan oleh kerajaan Selangor supaya nasib rakyat di negeri ini tidak terus ditindas dan dirampas oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.
Related Posts with Thumbnails