Menteri Dalam Negeri Datuk Sri Hishammuddin Hussein berkata peningkatan jumlah kes tembakan maut oleh polis sebenarnya tidak begitu ketara.
Oleh itu, katanya beliau menyerahkan kepada PDRM untuk menjelaskan kerana mereka bertanggungjawab dalam isu berkenaan dan ia membabitkan imej pasukan berkenaan.
"Biarlah dia jawab dari segi data, dari segi tarikh (kes-kes), sebab yang mungkin terpaksa pikul imej yang mungkin terjejas adalah kepentingan PDRM sendiri.
"Kalau tidak, itu saja soalan yang setiap hari saya kena jawab sedangkan ada perkara lebih serius lagi," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Putrajaya hari ini.
Sebaliknya, menurut Hishamuddin, kes berkenaan dianggap meningkat kerana disensasikan oleh pihak tertentu.
"Tak ada (peningkatan). Saya tengok seperti dijawab di Parlimen, kalau nak banding dalam sejarah negara kita, jumlahnya tidaklah begitu ketara.
"Banyak perkara yang dibangkitkan di parlimen disensasikan sehingga kita bawa jumlah yang sebenarnya.
"Tak tahulah, dia ada kes-kes tertentu ada yang dah ke mahkamah, ada dalam siasatan dan ada yang dah pun diperjelaskan," katanya lagi.
Tambahnya, perkara itu perlu dijawab dengan cepat oleh PDRM untuk mengelakkan ia disalah tafsir oleh masyarakat.
Ketika ditanya lanjut, beliau berkata kes berkenaan mungkin meningkat berbanding sebelumnya.
"Mungkin itu merupakan kes yang lebih berbanding dahulu, mungkin itu merupakan satu situasi yang kita perlu kita tangani," katanya.
Tambahnya, beliau telah meminta ketua polis negara serta timbalannya untuk menyediakan mekanisme yang telus dalam menjelaskan isu berkenaan.
"Kalau tidak diterangkan awal, tak dibawa ke muka keadilan kalau bersalah dengan cepat, tak dibebaskan (sekiranya tidak bersalah).
"Kalaupun bawah standard operating procedure sedia ada, ia tetap menjadi tanda tanya (peningkatan kes tembakan maut oleh PDRM).
"Jadi kaedah PDRM menangani kes berprofil tinggi seperti ini memerlukan pemikiran dan pendekatan mungkin tindakan yang lebih telus, terbuka, adil dan saksama dalam lanskap baru pada hari ini.
"Saya ingin serahkan kepada PDRM untuk menanganinya, dan kita akan bimbing," katanya lagi.
Tambahnya lagi, PDRM perlu mengambil pendekatan untuk mendedahkan siasatan tanpa menjejaskan siasatan itu sendiri.
"Ia tidak menganiaya orang tidak berdosa, tetapi pada masa yang sama kalau salah dalam menjalankan tugas, mereka yang salah itu tetap diadili," katanya lagi.
Katanya lagi, pendekatan PDRM seperti itu boleh dilihat dalam penerangan mengenai kes melibatkan jutawan kosmetik Sosilawati.