Rabu, 1 Disember 2010
Mahkamah-Sosilawati: Permohonan syarikat Sosilawati dalam kes saman didengar, Isnin
KUALA LUMPUR, 1 Dis – Mahkmah Tinggi di sini hari ini menetapkan Isnin ini untuk mendengar permohonan oleh Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd, syarikat milik jutawan kosmetik Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya, bagi mendapatkan masa mengemukakan pembelaannya dalam satu saman berhubung penjualan hartanah bernilai RM3 juta.
Hakim, Datin Zabariah Mohd Yusof menetapkan tarikh itu selepas menemui pihak-pihak yang terlibat dalam kamarnya hari ini.
Pada 5 Ogos lepas, Low Choong Yen, 59, dan isterinya Lim Bee Geok, 52, memfailkan saman itu dengan menamakan Nouvelle Beauty Centre sebagai defendan kerana melanggar perjanjian jual beli hartanah berkenaan di Kota Damansara, Petaling Jaya.
Saman itu difail 25 hari sebelum Sosilawati, 47, dan tiga yang lain terdiri pemandunya, Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, mati dibunuh di Tanjung Sepat, Banting.
Mohd Hadi Ar Rais Muhamad, peguam yang mewakili Nouvelle Beauty, memberitahu pemberita hari ini bahawa syarikat itu memfailkan permohonan bagi mendapatkan masa mengemukakan pembelaan dan afidavit jawapan.
Mohd Hadi daripada Azra & Associates, berkata, syarikat guaman itu dilantik baru-baru ini oleh pengarah urusan baru syarikat itu, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, yang merupakan anak Sosilawati, bagi mewakili syarikat itu kerana peguam syarikat itu, Ahmad Kamil, telah meninggal dunia.
Pada prosiding 3 November lepas, syarikat itu tidak diwakili mana-mana peguam.
Dalam writ saman mereka, Low dan isterinya, berkata berdasarkan surat tawaran oleh Nouvelle Beauty Centre pada 2 April lepas, syarikat itu bersetuju menjual tanah seluas 144.9 meter persegi bersama sebuah bangunan empat tingkat di situ pada harga RM3 juta.
Low dan Lim berkata, mereka telah membayar RM60,000 sebagai cengkeram semasa mendatangani surat tawaran penjualan hartanah itu manakala baki deposit sebanyak RM240,000 akan dibayar apabila perjanjian jual beli ditandatangani.
Baki RM2,700,000 akan dibayar dalam tempoh 90 hari selepas perjanjian itu dimeterai.
Menurut mereka, syarat dan terma draf perjanjian jual beli itu telah dipersetujui dan dimuktamadkan oleh kedua-dua pihak pada 22 April 2010.
Low dan isterinya berkata, bahawa selepas perjanjian jual beli itu ditandatangani, Nouvelle Beauty Centre telah memberitahu mereka dalam satu surat bertarikh 30 April 2010, bahawa syarikat itu tidak bercadang meneruskan penjualan itu kerana ia perlu menunggu antara enam dan 12 bulan bagi menukar hak milik hartanah itu kepada bukan Bumiputera dan untuk mendapatkan bayaran penuh bagi penjualan hartanah berkenaan.
Dalam sepucuk surat pada 3 Mei, pasangan suami isteri itu memberitahu Nouvelle Beauty Centre bahawa syarikat itu terikat dengan terma dan syarat perjanjian jual beli yang telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Low dan isterinya berkata bahawa pada 25 Mei 2010, Nouvelle Beauty Centre memulangkan kepada mereka perjanjian jual beli itu, surat pertukaran hak milik, borang permohonan kebenaran tukar hak milik dan cek RM240,000.
Bagaimanapun menurut mereka, Nouvelle Beauty Centre tidak memulangkan cengkeram RM60,000 itu.
Low dan Lim memohon perisytiharan bahawa perjanjian antara mereka dan Nouvelle Beauty Centre mengenai penjualan dan pembelian hartanah berkenaan adalah sah dan mahu syarikat itu meneruskan transaksi itu.
Mereka juga memohon mendapatkan injunksi melarang syarikat itu daripada menjual hartanah berkenaan kepada pihak lain.
-Bernama
Labels:
Kenyataan Blog