SHarian | PETALING JAYA - Konsep Ketuanan Melayu wajib ditinggalkan kerana ia hanya slogan sekumpulan kecil elit Melayu yang berkuasa untuk perdaya orang Melayu secara keseluruhan demi kepentingan diri.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kumpulan kecil Melayu ini adalah mereka yang lakukan rasuah, korup, pecah amanah dan pelbagai kesalahan tanpa hiraukan nasib kaum sendiri.
Beliau yakin tidak akan ada satu kaum yang akan menjadi agung dan dihormati hanya dengan menggelar diri sebagai tuan.
Katanya, walau dengan adanya Ketuanan Melayu sejak negara capai kemerdekaan 53 tahun lalu, nasib kaum ini terus terabai.
“Mereka dilanda masalah sosial, pendidikan, ekonomi dan budaya kehidupan yang membimbangkan serta kuota 30 peratus penguasaan ekuiti Melayu-Bumiputera gagal dicapai.
“Semua ini membuktikan pemimpin UMNO bukan berjuang untuk bela Melayu. UMNO adalah parti tauke dan jauh sekali berwajah parti rakyat,” katanya dalam ucapan dasar presiden di Kongres PKR di Dewan Sivik, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, semalam.
Wan Azizah menyebutpentingnya kaum Melayu tinggalkan konsep ketuanan kerana Islam mengatakan sebaik-baik umat adalah mereka yang paling tinggi takwanya.
“Al-Quran banyak mengisahkan bagaimana Tuhan hancurkan kaum yang bermegah konon jadi ‘tuan’ dan pandang rendah kaum lain.
“Bangsa dan kaum itu jadi agung dan dipandang tinggi apabila bermaruah. Kalau mahu besar, mereka harus memelihara dan menjaga maruah,” katanya.
Tegasnya lagi, dalam tradisi Melayu, mereka amat menyedari kepentingan menjaga maruah diri supaya dipandang tinggi.
Dr Wan Azizah menegaskan, isu survival Melayu dan Islam di negara ini tidak akan dapat diselesaikan jika masih dilihat melalui teropong UMNO dan konco-konconya, sebaliknya perlu dilihat dari perspektif dalam fenomena baru realiti politik berasaskan demokrasi.
Katanya, jika UMNO dan Barisan Nasional (BN) benar-benar ikhlas, mereka harus hentikan kezaliman, penindasan dan kemungkaran yang diamalkan selama ini dan menyuburkan iklim demokratik berasaskan Perlembagaan.
“Dengan ini, Islam yang murni akan lebih terserlah dan masyarakat bukan Islam akan lebih memahami Islam serta melihatnya secara tepat.
“Oleh demikian, kita menyeru kaum Melayu, umat Islam dan masyarakat Malaysia umumnya agar tidak mudah diperkotak-katikkan oleh pihak yang mengatakan orang Melayu akan kehilangan kuasa dan suara jika negara diperintah Pakatan Rakyat,” katanya.
Isnin, 29 November 2010
Konsep ketuanan Melayu wajib ditinggalkan
Labels:
Kenyataan Akhbar