Sabtu, 16 Oktober 2010

Jiran Sahkan Kedudukan Mayat Aminulrasyid Sama Dengan Saksi Semalam

SHAH ALAM 15 OKT: Saksi kepada pembunuhan Aminulrasyid Amzah yang juga jiran arwah, mengesahkan kepada mahkamah kedudukan mayat arwah serupa seperti yang dijelaskan saksi semalam, Pegawai Perubatan Muhammad Sahid Abdul Karim.

Dalam perbicaraan kes pembunuhan Aminulrasyid yang bersambung hari ini, Zafrullah Ahmad Zainal Abidin, 28, yang juga jiran arwah menyatakan apabila beliau sampai di tempat kejadian, beliau dapat melihat bahagian bawah badan mangsa di luar kereta manakala bahagian kepalanya menekap di tempat duduk pemandu kereta Iswara yang dipandu oleh arwah.

Beliau menjelaskan, beliau berada di rumahnya yang hanya 10 meter dari tempat kejadian semasa mendengar bunyi 'tap, tap-tap-tap' yang agak rambang berselang seli antara satu ke dua saat.

"Saya mendengar bunyi kuat seperti mercun yang menjadi semakin kuat dari arah Jalan Tarian 11/2A," jelas beliau di Mahkamah Shah Alam hari ini.

"Apabila saya melihat dari tingkap rumah saya, saya dapat melihat sebuah kereta yang berlanggar dengan dinding dan dua anggota polis sedang bergerak mengelilingi kereta tersebut.

"Saya pun bergegas ke hadapan rumah dan melihat seorang individu berlari ke arah bertentangan dengan arah kereta itu. Anggota polis tersebut menjerit kepada yang sedang berlari 'Jangan lari'," jelas Zafrullah lagi.

Beliau seterusnya menjelaskan, sudah ada beberapa orang semasa beliau sampai ke tempat kejadian dan dalam 30 minit, polis menutup kawasan kejadian.

Zafrullah menyatakan beliau menyimpulkan bunyi kuat 'tap-tap' tadi adalah bunyi tembakan senjata api apabila melihat kesan tembakan di cermin belakang kereta Iswara tersebut.

Seorang lagi saksi, Lans Korporal Shamsul Kamar Ismail pemandu kereta peronda ketiga yang mengejar kereta arwah pada malam itu memberitahu mahkamah bahawa Arwah Aminulrasyid melanggar lampu isyarat di Bulatan Kayangan, Shah Alam.

Walaubagaimanapun, Shamsul tidak dapat mengesahkan samada lampu isyarat sememangnya berada pada kedudukan merah semasa arwah memandu lalu.

Shamsul juga tidak dapat mengagak kelajuan kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid pada malam itu yang didakwa dipandu laju.

Koperal Jenain Subi, 48, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid di Jalan Tarian 11/2 di Seksyen 11, antara 1.10 pagi dan 2 pagi pada 26 April lalu.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Related Posts with Thumbnails