
KUALA LUMPUR: Majlis  Raja-Raja yang bermesyuarat selama dua hari di Istana Negara di sini  bermula Rabu mengalu-alukan keberangkatan hadir Sultan Kelantan Sultan  Muhammad V sebagai anggota penuh Majlis itu.
Sultan  Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang mempengerusikan mesyuarat  ke-222 itu, bertitah bahawa Majlis itu mendoakan agar Kelantan Darul  Naim terus aman dan tenteram serta Sultan Muhammad V dapat memerintah  dengan adil dan saksama, agar negeri itu menuju kejayaan, dan baginda  sentiasa dikasihi rakyat.
"Paduka  Ayahanda bagi pihak diri sendiri dan juga Yang Maha Mulia Raja-Raja  Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri  mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Maha Mulia Seri Paduka  Anakanda atas pemasyhuran Anakanda," titah Sultan Sharafuddin dalam  kenyataan yang dikeluarkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Khamis.
Sultan  Muhammad V dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 yang baru di  Istana Balai Besar, Kelantan bulan lepas bagi menggantikan ayahanda  baginda Sultan Ismail Petra yang sedang gering sejak lebih dari setahun.
Titah  Sultan Sharafuddin, sebagai seorang berpendidikan tinggi dan  berpengalaman luas dalam bidang pentadbiran dan pernah dilantik sebagai  Pemangku Sultan Kelantan, serta berjiwa rakyat, Majlis Raja-Raja  berkeyakinan penuh bahawa Sultan Muhammad V dapat memberi bantuan, input  serta idea-idea baru kepada Majlis Mesyuarat Raja-Raja.
Sultan  Sharafuddin turut bertitah, baginda dan semua Raja Melayu serta Yang  di-Pertua Negeri turut dukacita atas kegeringan Sultan Ismail Petra dan  mendoakan semoga kesihatan baginda bertambah baik.
Sementara  itu, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abdidin, Khamis berkenan  berangkat menghadiri Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang berakhir di sini.
Seri Paduka diiiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mesyuarat  itu dihadiri semua Raja Melayu kecuali Pahang, yang diwakili Tengku  Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah; Perak, oleh Pemangku Sultan  Raja Dr Nazrin Shah Sultan Azlan Shah, dan Terengganu, oleh Tengku Sri  Bendahara Raja Tengku Mustaffa Kamel.
Menurut  kenyataan itu, mesyuarat, antara lain, membincangkan perkara berkaitan  pertahanan, keselamatan, agama Islam, pelantikan-pelantikan dan Biasiswa  Pengajian Tinggi Raja-Raja dan Yang di-Pertua Negeri serta Biasiswa  Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. 
-Bernama-


