Khamis, 14 Oktober 2010

Makhluk ghaib 'marah' tidak dapat larikan Siti


BESUT – Misteri seorang gadis dikatakan sentiasa ghaib sejak dua bulan lalu semakin menggemparkan orang ramai apabila dia dibaling sekeping objek berupa besi magnet mengenai belakangnya di Kampung Gong Nangka, di sini, Ahad lalu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 12 malam ketika Siti Balkis Mohd Nor, 22, berada di ruang tamu rumah bersama anggota keluarganya, sebelum besi magnet di atas mesin jahit di ruang tamu rumah secara tiba-tiba melayang dari bahagian atas siling dan jatuh pada belakang gadis tersebut yang ketika itu ingin bangun untuk berbaring.

Ibunya, Norizan Said, 47, berkata, apa yang mengejutkan besi itu kemudian jatuh di atas lantai dengan mengeluarkan bunyi kuat tidak setanding dengan saiznya yang kecil.

"Susulan itu, Siti Balkis terus menangis kerana kesakitan dan memberitahu besi itu amat panas," katanya.

Kejadian aneh tetapi benar itu turut disaksikan isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Zaipah Hussein yang berada di dalam rumah berkenaan.

Menurut Norizan, dia cuba membantu anaknya, namun tiba-tiba dia seperti dimasuki makhluk ghaib dalam badannya, sebelum makhluk berkenaan mengatakan tindakan itu disebabkan kerana marah tidak dapat melarikan Siti Balkis sejak dua hari lalu.

"Aku tak takut apa-apa, aku tak takut ditembak dan aku tidak boleh bawa keluar dia (Siti Balkis) kerana orang ramai," itulah antara suara aneh yang keluar dari mulut Norizan ketika membantu merawat belakang anaknya yang turut dirakam wartawan Sinar Harian.

Menurutnya, pelbagai kejadian aneh lain berlaku kelmarin seperti kunci rumah jiran yang berkunjung ke rumahnya turut ghaib dan ditemui di atas almari di dalam salah satu bilik tidur dalam rumah itu.

"Bukan itu sahaja, petang kelmarin lampu suluh kepala yang berada di atas lantai di ruang tamu bergerak sendiri sejauh kira-kira satu meter ke arah tandas dan ia disaksikan semua orang yang berada di dalam rumah," katanya.

Norizan berkata, dia percaya pelbagai kejadian aneh berlaku kelmarin disebabkan makhluk yang sering menyorok Siti Balkis terlalu marah kerana tidak dapat berbuat demikian.

Katanya, kejadian ini memang aneh namun, orang yang tidak mengalami dan melihat sendiri memang sukar mempercayainya, tetapi yang pasti keluarga dan Siti Balkis begitu derita serta tertekan dengan kejadian aneh yang berlaku sejak lebih dua bulan lalu.

Menurutnya, keadaan itu terkawal selepas Siti Balkis menjalani rawatan dengan tiga tokoh pengamal rawatan Islam dari Yayasan Islam Terengganu (YIT) pada Ahad lalu dan sehingga malam kelmarin, anaknya tidak lagi ghaib seperti malam-malam sebelumnya.

Bagaimanapun katanya, walaupun anaknya tidak lagi disorok dan dilarikan sejak dua malam lalu, kejadian yang dialami itu benar-benar menggemparkan.

Norizan yang bersyukur dengan perkembangan itu berkata, setakat ini ada perubahan selepas menjalani rawatan dengan tiga ustaz itu dan dia berharap keadaan ini berterusan sampai bila-bila.

"Keadaannya sekarang letih sedikit dan pada malam pertama selepas menjalani rawatan itu, dia mengadu badannya lenguh-lenguh dan terpaksa diurut," katanya.

Berkaitan: Jin Yang Mengganggu Siti Ditangkap Di Besut
Related Posts with Thumbnails