
KUALA LUMPUR: “Setakat ‘dibela’ seorang lelaki, itu perkara biasa. Jadi perempuan simpanan sebenarnya peluang untuk saya memperoleh pulangan berganda kerana ‘kerjaya’ ini ‘lubuk wang’ yang sangat luas.
NIZA... sugar daddynya rela ‘berkongsi kasih’.
Perempuan simpanan itu mendedahkan, menjadi trend di kalangan  golongan berkenaan dibela lebih daripada seorang lelaki kerana di  kalangan lelaki terbabit, mereka seperti ada kumpulan dan tidak kisah  bertukar-tukar pasangan antara satu sama lain.
“Saya sendiri  dibela tiga lelaki. Pada mulanya saya tidak tahu ada peluang seperti  ini, tetapi apabila berlaku kepada diri saya, baru saya tahu.
“Rupa-rupanya lelaki yang bela perempuan simpanan ini ada rakan  yang kemaruk buat benda sama. Justeru, apabila lelaki yang membela saya  berjumpa mereka, itulah peluang saya untuk memasang ‘jerat’,” katanya.
 Niza berkata, ketika pertemuan berkenaan, dia bergaya sehabis mungkin  dan berpakaian seksi bagi menjerat rakan lelaki yang membelanya.
 “Sesiapa yang pandang lain macam, itulah sasaran saya. Kami  bertukar-tukar nombor telefon dan hanya dalam tempoh beberapa hari  secara ‘rasmi’ saya menambah koleksi ‘sugar daddy’.
  “Begitu juga yang saya lakukan untuk memperoleh ‘sugar daddy’ ketiga,” katanya.
 Pada mulanya Niza mengakui bimbang ‘kecurangannya’ terbongkar, tetapi  ternyata ada antara golongan terbabit rela ‘berkongsi kasih’.
 “Saya bersungguh-sungguh merahsiakan kecurangan saya, tetapi lama  kelamaan lelaki pertama yang membela saya bertanya bagaimana layanan  rakannya terhadap saya.
“Dia mengakui tahu rakannya turut  membela saya. Kata lelaki itu, ia perkara biasa dan dia turut melakukan  perkara sama iaitu membela perempuan simpanan milik rakan,” katanya yang  dibela kontraktor dan ahli perniagaan berstatus ‘suami orang’ sejak dua  tahun lalu.
Menurut Niza, dia memperoleh ‘untung besar’ dengan hanya goyang kaki di rumah.
 “Dulu saya bekerja sebagai jurujual minyak wangi di pusat beli-belah.  Berapa sangat pendapatan yang mampu saya peroleh setiap bulan.
 “Apabila mendapat habuan dibela tiga lelaki, saya mampu duduk di  kondominium, pakai kereta berharga lebih RM100,000, bergaya seperti  selebriti dan melancong ke luar negara,” katanya.
Bagaimanapun, Niza berkata, dia sedar ‘tempoh laku’ dirinya hampir tamat kerana begitulah lumrah sebagai perempuan simpanan.
“Lelaki pertama yang membela saya setakat itu masih setia. Dua lagi masing-masing dah masuk lima dan tiga bulan.
 “Tak tahu sampai bila mereka akan terus membela saya. Bagaimanapun,  saya tak bimbang kerana ketika ini saya menanti peluang ‘menjerat’ rakan  ‘sugar daddy’ saya,” katanya.
Bagi seorang lagi perempuan  simpanan yang mendakwa siswi kolej swasta, memang satu trend lelaki yang  membela perempuan simpanan ‘berkongsi kasih’ tetapi ia bergantung  kepada ‘perangai’ dan layanan wanita terbabit.
“Saya mengakui  trend itu sebab saya juga pernah melaluinya. Bagaimanapun, kena lihat  perangai dan layanan kita sebab masing-masing mempunyai selera berbeza.
 “Memang peluang buat wang terbuka luas. Orang lain satu ‘sugar daddy’,  tetapi kita dua atau tiga,” katanya yang kini mempunyai dua ‘sugar  daddy’ kontraktor berstatus suami orang.
Siswi yang dikenali  sebagai Apple, 23, itu berkata, pada mulanya dia tidak menyangka wujud  trend seperti itu kerana menyangka lelaki yang kemaruk membela perempuan  simpanan tidak rela ‘berkongsi kasih’.
“Kalau dah namanya  lelaki, mana cukup satu. Lelaki pertama yang membela saya rupa-rupanya  turut membela perempuan simpanan rakannya.
“Patutlah dia tak  kisah rakannya bela saya walaupun pada mulanya saya bimbang  ‘diapa-apakan’ jika kecurangan saya terbongkar,” katanya.
 Menurut seorang lagi perempuan simpanan, Mira, 26, dia memilih berkongsi  sugar daddy bukan saja untuk menikmati kepuasan seks, malah jalan  terbaik buatnya untuk memperoleh kesenangan berlipat ganda.
 Menurutnya, rugi jika hanya dibela seorang lelaki kerana bukan semua  kemahuan mereka mampu dituruti lelaki berkenaan dalam satu-satu masa.
“Saya kini dibela dua sugar daddy. Jika tidak peroleh sesuatu daripada seorang lelaki, saya minta pada seorang lagi.
 “Sekalipun sedar mereka (sugar daddy) bukan hanya membela saya seorang  sebagai perempuan simpanan, saya tidak pernah kisah. Yang penting,  kemahuan saya dapat dipenuhi dan dapat bersenang lenang,” katanya.
Mira ketika ini bekerja di syarikat swasta dan pernah menjadi GRO di pusat hiburan sekitar Kuala Lumpur.
 Dia menjalin hubungan bersama lelaki yang kini menjadi sugar daddynya  hampir tiga tahun, namun Mira mengakui ia tidak memadai dan sebab itu  dia mencari seorang lagi lelaki yang ingin membelanya.
Gadis  berasal dari Sabah ini berkata, dia mula dibela seorang lagi lelaki atas  perkenalan yang diatur rakan lamanya di kelab malam.
  “Kami  berkongsi lelaki sama, tetapi ia bukan masalah. Lagi bagus begitu kerana  rakan saya boleh beritahu apa yang saya boleh peroleh daripada lelaki  berkenaan.
“Setakat ini saya mewah, soal duit bukan masalah.  Tak dapat dengan seorang lelaki, saya boleh minta dengan seorang lagi,”  katanya.
Sementara itu, seorang pramugari yang hanya mahu  dikenali sebagai Nisa berkata, memang mewah hidup dibela lebih daripada  seorang lelaki simpanan, namun ada kalanya ia membebankan.
Katanya, bukan mudah melayan dua atau tiga lelaki pada satu masa dan menuruti apa saja kemahuan mereka.
 “Selepas layan seorang, hari berikutnya kena layan pula yang seorang  lagi. Hidup memang mewah, tetapi kadangkala saya penat melayan mereka.
 “Jika bukan kerana kemewahan hidup, memang tidak terlayan dibuatnya.  Apa pun, bila fikir balik ia masih berbaloi, lagi pun saya tahu hubungan  begini tidak bertahan lama, kami (perempuan simpanan) hanya untuk  persinggahan lelaki begini,” katanya.
Menurut Nisa, dia  bernasib baik kerana jadual kerja dalam dan luar negara sebagai  pramugari memudahkannya mengatur pertemuan dengan lelaki yang  membelanya.
“Saya boleh beri pelbagai alasan untuk mengelak  mereka ingin bertemu saya pada satu masa. Sebab itu, setakat ini saya  masih bertahan dengan mereka.
“Entah sampai bila saya perlu  hidup begini, yang penting sekarang saya perlu ‘pergunakan’ mereka  sebaik-baiknya kerana sampai masa nanti saya tidak akan berguna lagi  kepada mereka,” katanya. ~Mymetro



