Rabu, 22 September 2010

UMNO Mahu Bina Kasino Di Sabah - Anwar


SHAH ALAM 22 SEPT 10: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjelaskan sama ada kerajaan Umno-BN akan membina sebuah kasino di Sabah sebagai sebahagian daripada ETP (Program Transformasi Ekonomi).

Kasino itu dikatakan sebahagian projek pelancongan hijau di Karambunai yang turut membabitkan pembinaan pusat rekreasi air atas tapak 500 ekar, menurut portal Malaysian Insider. Projek itu dicadangkan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), sebuah unit di bawah Jabatan Perdana Menteri.

"Kami mahukan pentadbiran Najib untuk bersikap telus dan menyatakan samada ia memang bercadang atau telah pun memberikan kelulusan untuk membina sebuah kasino di Sabah," Anwar dipetik sebagai berkata.

"Ada tanda-tanda bahawa kelulusan untuk membina kasino akan diberikan atas alasan untuk memastikan projek hijau itu berwibawa dan menguntungkan. Perdana Menteri harus memberi pengesahan atau penafian yang tegas atas isu ini," tambah Anwar.

Cadangan pembinaan kasino itu didedahkan setelah kerajaan Umno-Barisan Nasional meluluskan lesen judi sukan kepada sebuah syarikat milik jutawan Vincent Tan. Namun setelah dikritik oleh Pakatan Rakyat dan orang ramai, termasuk masyarakat bukan Islam, Najib menarik balik kelulusan itu.

Tidak dapat dipastikan sama ada pembinaan kasino baru di Sabah, jika diluluskan, akan membabitkan syarikat milik Vincent Tan sebagai 'pampasan' kepada ahli perniagaan itu atas kehilangan lesen judi sukan berkenaan.

"Baru dua bulan isu lesen judi sukan reda, muncul pula berita mengatakan kerajaan mahu membina sebuah kasino. Bagaimanakah ia akan menguntungkan pembayar cukai?," kata Anwar.

"Rakyat berhak untuk mengetahui hala tuju negara ini di bawah pimpinan Najib. Nampaknya apa yang sedang dilakukan oleh pentadbiran Najib ialah untuk mempopularkan judi," kata Anwar. (tvS)

Related Posts with Thumbnails