Isnin, 20 September 2010

Pekerja kesayangan Sosilawati menggelapkan wang syarikat mencecah jutaan ringgit



Pendedahan terbaru agak mengejutkan apabila jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47, yang mati dibunuh kejam bukan hanya menjadi mangsa penipuan peguam di Banting, malah turut ‘ditikam dari belakang’ oleh bekas pekerja kepercayaannya yang menggelapkan wang syarikat mencecah jutaan ringgit sejak lebih lima tahun lalu.

Difahamkan, penipuan licik sekian lama dilakukan bekas pekerja yang selama ini mendapat kepercayaan Sosilawati hanya diketahui jutawan kosmetik itu pada pertengahan Ramadan lalu apabila usahawan berkenaan mula curiga terhadap keuntungan yang seharusnya diperoleh hasil jualan produk kosmetik syarikatnya.

Sumber terdekat keluarga Sosilawati memberitahu, sikap mangsa yang meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pekerjanya dalam menguruskan operasi dan kewangan syarikat kosmetik Nouvelle Beauty Centre Sdn Bhd dipercayai menjadi punca ada antara kakitangannya mengambil kesempatan.

Menurutnya, Sosilawati yang jarang berada di pejabatnya di Jalan Raja Bot, Chow Kit, di sini, kerana urusan kerja luar menyerahkan bulat-bulat kepada kakitangannya untuk menguruskan penjualan dan penyerahan produk kepada stokis.

"Malah, pekerjanya itu turut diamanahkan untuk menerima cek pembelian produk daripada stokis di seluruh negara sebelum cek terbabit dimasukkan ke dalam akaun syarikat.

"Malangnya, kepercayaan Sosilawati itu dibalas sebaliknya apabila seorang daripada pekerja syarikat terbabit menggelapkan cek diserahkan stokis produk kosmetik terbabit tanpa disedari sesiapa," katanya.

Menurutnya, ada kemungkinan bekas pekerja Sosilawati terbabit sengaja mengubah nama penerima cek itu yang sepatutnya ditulis atas nama syarikat kosmetik berkenaan.

"Bagaimanapun, penipuan licik itu terbongkar selepas Sosilawati menyedari sesuatu tidak kena terhadap jumlah wang dalam akaun syarikatnya sebelum menyoal siasat pekerjanya itu.

"Difahamkan, Sosilawati cuba mendapatkan bukti dan buku kira-kira berhubung penyelewengan duit syarikatnya itu, namun gagal. Ada kemungkinan semua bukti terbabit sengaja dihilangkan bagi menyukarkan tindakan undang-undang diambil Sosilawati," katanya.

Berdasarkan keluhan Sosilawati kepada kenalan dan rakan perniagaannya, dia percaya pekerja berusia lewat 20-an terbabit melarikan wang syarikat berjumlah jutaan ringgit.

"Tidak dapat dipastikan sama ada Sosilawati memecat atau pekerja terbabit menghilangkan diri, namun pekerja wanita itu tidak lagi berkhidmat di syarikat berkenaan seminggu sebelum Sosilawati dilaporkan hilang.

"Apa yang saya tahu, selepas menyedari penyelewengan itu, Sosilawati sibuk mengemas kini buku kira-kira syarikat selain cuba mendapatkan kembali resit pembelian daripada stokis yang membuat pembelian produk daripadanya sebelum ini," katanya.

Menurutnya, Sosilawati bagaimanapun tidak membuat laporan polis berhubung penyelewengan berkenaan.

"Lebih mengejutkan apabila pihak keluarga mendapat tahu bekas pekerja Sosilawati terbabit turut cuba tampil dengan produk penjagaan wajah jenama terbaru bagi menyaingi perniagaan Sosilawati. Tidak pasti dari mana modal perniagaan itu diperoleh," katanya yang enggan namanya didedahkan berikutan bimbang ia boleh mengeruhkan hubungan keluarga.

Sementara itu, rakan baik Sosilawati yang juga pengasas produk De’ Wajah, Junaidah Kiting yang dihubungi turut memberitahu pernah menerima panggilan telefon daripada arwah sahabatnya itu yang mengeluh dan melahirkan rasa kecewa dengan tindakan pekerja terbabit.

Menurutnya, Sosilawati marah dan tidak menyangka pekerja kesayangannya itu sanggup menipu dan memperdayanya.

"Bagaimanapun, saya tak tahu butiran terperinci berikutan Sosilawati ketika itu sibuk mengira anggaran kerugian dialami melalui stokis yang membuat pembayaran sebelum ini," katanya.

Sementara itu, Junaidah sekali lagi menyatakan kesudiannya untuk membantu anak sulung Sosilawati, Erni Dekritawati Yuliana Buhari, 25, meneruskan perniagaan kosmetik ibunya itu dengan memberikan apa jua nasihat berhubung pengurusan perniagaan terbabit.

"Sebagai antara rakan karib Sosilawati yang sama-sama menceburi perniagaan ini sejak lebih 10 tahun lalu, saya turut berasa bertanggungjawab bagi membantu anak-anak Sosilawati sekiranya diperlukan," katanya. -hmetro

Adakah ianya ada kaitan?? baca juga Kenalan Datuk Sosilawati ditemui mati tergantung.
Related Posts with Thumbnails