Rabu, 22 September 2010
AC Mizal Sahkan Terima Gelaran Datuk
Pelakon dan pengacara AC Mizal mengesahkan menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk daripada Sultan Pahang.
Bekas pengacara Akademi Fantasia itu mengakui telah menerima surat penganugerahan tersebut pada awal Ramadan lalu dan bakal menerima secara rasmi gelaran berkenaan mengikut adat istiadat istana pada akhir tahun ini.
"Saya sudah menerima surat dari pihak istana berhubung perkara ini namun belum lagi menghadiri majlis penganugerahan secara rasmi di istana.
"InsyaAllah ia mungkin diadakan pada hujung tahun ini, tapi pihak istana sudah memberi keizinan untuk saya terus mengunakan gelaran tersebut," ujarnya ketika ditemui pada Majlis Ulang Tahun ke10 Perkahwinan Vanida Imran dan Rashidi Ishak, Isnin.
Bagaimanapun, menurut AC dia masih belum mengunakan gelaran tersebut dan masih dalam proses mempersiapkan diri.
"Gelaran itu satu anugerah kepada saya. Ia bagus untuk bisnes yang sedang saya jalankan sekarang, namun begitu buat masa ini saya belum berani untuk mengunakannya kerana belum menghadari majlis penganugerahan.
"Saya masih dalam proses untuk berubah daripada seorang artis kepada ahli perniagaan selain mahu menerima gelaran tersebut," ujarnya.
Dalam pada itu, Pengerusi AC Konsortium Sdn Bhd ini juga memberitahu gelaran Datuk yang diterimanya merupakan rezeki selepas dia menceburkan diri dalam bidang perniagaan.
"Saya dapat gelaran ini disebabkan kejayaan saya sebagai artis yang berjaya dalam perniagaan. Walaupun belum setahun lagi perniagaan saya ini tapi Alhamdulilah rezeki perniagaan saya semakin baik.
"Secara tidak langsung saya boleh memberi contoh yang baik kepada artis-artis muda yang lain. Saya tidak mahu artis hanya dikaitkan dengan cerita-cerita negatif sahaja," katanya.
Selain itu, AC memberitahu dia tidak pernah meningalkan dunia seni sejak bergelar usahawan. Namun dia mengakui lebih memilih tawaran yang bersesuaian dengannya.
"Saya masih dalam industri seni. Saya ada kontrak dengan Astro selama dua tahun lagi. Insya-Allah lepas raya ini ada program yang akan saya kendalikan.
"Untuk tawaran berlakon memang sekarang saya kurangkan sedikit sebab saya ada tanggungjawab terhadap perniagaan yang saya usahakan ini. Namun begitu saya masih menerima tawaran yang bersesuaian dengan umur dan masa saya," kata AC.
- MSTAR
Labels:
Kenyataan Akhbar