Selasa, 21 September 2010

Sumbang RM4 bilion kepada PAS Kelantan

MyMetro | KOTA BHARU: Majlis pelancaran projek dan makan malam dianjurkan syarikat pembinaan, I’DA World Group Sdn Bhd yang diadakan di sini, malam kelmarin, ‘gempar’ apabila Pengerusi Eksekutifnya membuat sumbangan peribadi sebanyak RM4 bilion kepada Pas Kelantan.

Abdul Rahim Abdul Wahab yang didakwa Bumiputera terkaya di dunia mengumumkan sumbangan peribadi itu disalurkan demi pembangunan termasuk memajukan pekan Rantau Panjang.


Sumbangan itu disampaikan menerusi penyampaian replika cek di hadapan lebih 100 tetamu termasuk kerabat diraja yang dijemput menghadiri majlis berkenaan.


Bagaimanapun, tiada Exco kerajaan negeri kelihatan bagi mewakili Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ke majlis berkenaan sebaliknya replika cek terbabit hanya disampaikan seorang individu dikenali sebagai Nik Din yang mendakwa adik kepada Nik Abdul Aziz.


Terdahulu, Sultan Kelantan, Tuanku Muhammad Faris yang dimaklumkan akan menghadiri majlis berkenaan juga tidak kelihatan seperti dimaklumkan penganjur kepada pihak media.


Mengulas mengenai sumbangan itu, Abdul Rahim berkata wang itu boleh digunakan untuk membangunkan pekan Rantau Panjang dengan lebih teratur sebagai kawasan bebas cukai.


“Apa yang kita nampak, adakah pekan Rantau Panjang kawasan bebas cukai atau kampung pelarian? “Jadi apa kata duit ini digunakan secara baik dan saya cuba menghidupkan suasana meriah antara kampung di situ dalam sistem yang lebih terbina,” katanya.


Selain itu, beliau berkata syarikat terbabit merancang membangunkan tiga projek mega bernilai AS300 bilion (RM1.06 trilion) di lima negeri utara Semenanjung, turut menggunakan dana peribadi hasil daripada aktiviti perniagaannya di luar negara sebelum ini.


Katanya, projek S7 yang membabitkan pembinaan lebuh raya 10 lorong sepanjang 328 kilometer bermula dari daerah Tumpat dan menghubungkan Perak, Perlis, Kedah sehingga ke Sanglang, Thailand sudah mendapat kelulusan kerajaan negeri dan akan dimulakan 15 November ini.


“Projek ini baru diluluskan petang tadi (kelmarin) melalui surat daripada Menteri Besar Kelantan. Dianggarkan lebih kurang 2,000 kontraktor sudah boleh memulakan kerja mereka,” katanya.


Selain lebuh raya, beberapa syarikat gergasi dunia seperti pengeluar pesawat penerbangan komersil, Boeing dan pengeluar kereta mewah jenama Rolls Royce, Porsche dan Mercedez-Benz akan turut membuka kilang di Tumpat yang akan dibangunkan sebagai pusat pembangunan teknologi tinggi negara dikenali Pembandaran Pelabuhan Tumpat (PPT) melalui S7.

Sementara itu, Exco Kanan dan Timbalan Pesuruhjaya III Pas negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah ketika dihubungi mengakui tahu mengenai projek terbabit tetapi tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat exco.


“Mereka ada berjumpa dengan Menteri Besar tetapi tidak ada dibincangkan dalam mesyuarat Exco. Difahamkan Unit Perancang Ekonomi Negeri tidak menyokong projek berkenaan,” katanya.


Mengulas mengenai sumbangan RM4 bilion itu, katanya, ia agak sukar untuk dipercayai.

Related Posts with Thumbnails