Ahad, 19 September 2010

Najib: Dasar, sistem adil perlu dalam jayakan 1 Malaysia

SERI KEMBANGAN 19 Sept — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menegaskan tentang perlunya mempunyai dasar-dasar dan sistem yang adil di bawah prinsip inklusif yang ditekankan dalam konsep 1 Malaysia diilhamkannya.
Penekanan Najib mengenai soal inklusif dan dasar-dasar adil muncul di sebalik tekanan kumpulan membela hak orang Melayu Perkasa, yang meminta beliau memberi penjelasan yang sejelas-jelasnya mengenai konsep 1 Malaysia.
“Mempunyai elemen inklusif dan prinsip keadilan adalah antara beberapa prinsip penting 1 Malaysia,” kata Najib (gambar) yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dalam ucapannya pada program makan tengah hari etnik Malayali di sini hari ini.
“Menjadi inklusif bermaksud kita harus memastikan polisi kita akan memberikan faedah kepada semua rakyat Malaysia. Kita harus pastikan sistem kita adil dan setiap rakyat Malaysia akan tahu tentang nilai masing-masing,” kata beliau.
Najib, perdana menteri keenam juga menekankan bahawa sumbangan setiap rakyat Malaysia adalah penting dalam memajukan Malaysia sebagai negara maju dalam abad ke-21.
“Jik kita boleh menghimpunkan kekuatan setiap individu rakyat Malaysia, maka kita menggandingkan kekuatan dan bakat untuk menjadikan pembaharuan menyeluruh agar Malaysia akan menjadi sebuah negara yang berjaya pada abad ke-21,” kata beliau lagi.
Dalam komen kepada The Malaysian Insider yang disiarkan semalam, pemimpin Pakatan Rakyat dan penganalisis mengecam konsep 1 Malaysia sebagai amalan yang bergerak ke belakang ekoran meningkatnya kenyataan-kenyataan berbaur perkauman dan keengganan Najib mempertahankan konsep 1 Malaysia daripada tuntutan Perkasa.
Kelmarin, Najib berkata gagasan 1 Malaysia adalah “kerja dalam pelaksanaan”, yang akan mencapai objektifnya dengan sokongan dan komitmen padu daripada semua lapisan rakyat.
Beliau menegaskan gagasan 1 Malaysia serta langkah transformasi yang sedang dilaksanakan kerajaan ialah satu proses yang berterusan.
Gagasan 1 Malaysia yang diperkenalkan tahun lepas, katanya, tidak boleh direalisasikan sepenuhnya hari ini.
“Ingin saya jelaskan di sini, apa yang telah kerajaan lakukan setakat ini hanyalah merupakan permulaan daripada apa yang kita harap dapat dilaksanakan dengan jayanya dalam beberapa tahun yang akan datang.
“Saya tidak gemar dengan tanggapan bahawa apabila sesuatu perkara tidak berhasil, masyarakat akan mengatakan “oh... 1 Malaysia tidak berkesan”. Ini tidak betul. Saya ingin menyatakan bahawa ia (1 Malaysia) merupakan kerja dalam pelaksanaan, dan kami memerlukan komitmen penuh daripada semua rakyat Malaysia untuk mencapai matlamatnya,” katanya.
Ekoran komen Najib itu, semalam Perkasa meminta beliau menjelaskan konsep itu bagi mengelakkan tanggapan bukan Melayu bahawa ia sebenarnya merujuk kepada elemen kesamarataan.
Hari ini, Najib menekankan bahawa Malaysia perlu mempunyai kelebihan daya saing di peringkat global.
Dengan merujuk kepada negeri Kerala, wilayah etnik Malayali berasal, Najib berkata, ia muncul negeri yang berjaya dengan kadar celik huruf hampir 100 peratus.
Katanya, orang Melayu dan kaum-kaum lain di Malaysia harus belajar daripada semangat masyarakat Malayali untuk memperoleh ilmu dan pendidikan.
Najib juga meminta sokongan kesemua rakyat Malaysia terhadap program ekonomi seperti Program Pembaharuan Kerajaan, Model Baru Ekonomi untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.
“Kita memerlukan sokongan setiap rakyat Malaysia untuk bekerja sebagai sebahagian daripada usaha membina negara,” katanya.
“Tetapi, kesemuanya tidak akan bermakna melainkan adanya sifat inklusif,” kata beliau.
Related Posts with Thumbnails