Sejak beberapa minggu kebelakangan ini kita menyaksikan fenomena orang pencen dengan tiba-tiba menghentam institusi yang mereka pernah anggotai. Terbaru ialah Datuk Gopal Sri Ram yang baru bersara dari Mahkamah Persekutuan. Khamis lalu beliau mengkritik badan kehakiman yang didakwa gagal melindungi hak golongan minoriti.
Dua minggu sebelum itu bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan juga berbuat begitu. Musa mendakwa kerajaan, khususnya Kementerian Dalam Negeri, mengganggu tugas polis. Itu bukan kali pertama beliau berbuat demikian kerana Mac lalu Musa menyebut hal yang sama dalam satu wawancara.
Kita tinggalkan dulu Gopal Sri Ram yang juga bekas Peguam UMNO itu. Tidak seperti Musa bekas hakim itu bukan anggota perkhidmatan awam. Walaupun begitu ia tidak bermakna menghentam selepas pencen satu perbuatan yang bagus.
Walau apa pun insiden melibatkan kakitangan awam seperti Musa bukanlah sesuatu yang lumrah. Dan sebenarnya ia amat jarang berlaku. Meskipun begitu pada pertengahan 1990 bekas Panglima Tentera Udara, Lt Jen (U) Tan Sri Mohamed Ngah Said yang bersara awal mengkritik Menteri Pertahanan ketika itu, Tengku Ahmad Rithaudeen.
Kedua-dua mereka mendapat reaksi yang langsung daripada menteri masing-masing. Dalam kes Musa, Datuk Seri Hishamuddin Hussein membuat penafian pada 7 September. Sehari selepas itu kementerian membalas serangan Musa melalui KSU, Datuk Seri Mahmood Adam. Ia mendapat reaksi spontan daripada Musa yang mengingatkan polis supaya jangan jadi pak turut.
Apa relevan perlembagaan dalam isu ini? Pada saya tindakan Musa tadi membangkitkan isu hubungan antara kerajaan yang memerintah – yang dipimpin oleh orang politik – dengan kakitangan awam. Apa hubungan polis dengan kerajaan? Ia sama dengan agensi perkhidmatan awam yang lain termasuk angkatan tentera; yakni perkhidmatan awam adalah sebahagian daripada eksekutif atau kerajaan yang memerintah. Tetapi mereka tidak perlu setia kepada kerajaan berkenaan. Meskipun begitu ini tidak bermakna bahawa apa yang dilakukan oleh ketua polis di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat seperti di Perak dan Selangor itu betul. Atau apa yang berlaku di Terengganu ketika ia ditadbir oleh Pas pada 1999-2004 dahulu.
Apa yang Musa lakukan ganjil. Saya terkejut kerana beliau amat tidak senang dengan prinsip di atas yang saya huraikan dalam satu ceramah yang saya sampaikan dalam satu seminar anjuran bersama anjuran ATM dan PDRM dua tahun lalu. Mungkin Musa sudah berubah sikap apabila kontraknya tidak disambung.
Saya perlu tekankan bahawa tiada beza antara polis dengan agensi lain. Dengan itu ia tertakluk kepada dasar dan keputusan kerajaan selagi itu semua selaras dengan undang-undang. Sebab itu adalah salah apabila polis menentang IPCMC yang dicadangkan Suruhanjaya, Dzaiddin Abdullah: suruhanjaya untuk memantau pasukan polis. Kita masih ingat bagaimana KPN ketika itu Tan Sri Bakri Omar mengugut kerajaan. PDRM juga tidak boleh menentang kerajaan dengan enggan menyertai agensi penguatkuasaan maritim. Secara kebetulan Pengarah KDNKA Bukit Aman yang menunjukkan penentangan itu adalah Timbalan KPN yang baru, Datuk Hussin Ismail.
Saya ingin menekankan bahawa pasukan polis adalah sebahagian daripada perkhidmatan awam. Ini disebut oleh perlembagaan. Ia tidak bebas.
Apa pun yang Musa kata kepada penggantinya, Tan Sri Ismail Omar masalah yang kita lihat selama ini ialah polis melaksanakan Akta Polis dengan cara yang tidak selaras dengan perlembagaan: berkumpul di premis sendiri pun tak boleh. Ada ketua polis negeri yang memandai-mandai membuat dasar bahawa sebuah parti yang tidak ada ahli di sesebuah kawasan tidak boleh berceramah di situ. Ini pelik dan karut.
Kita mengharapkan agar Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Tengku Razaleigh, memberi perhatian yang serius. Perkhidmatan awam penting tetapi di sisi perlembagaan kerajaan adalah pihak yang memegang tanggungjawab.
Sebagaimana yang saya sebutkan sebelum ini PDRM perlu reformasi yang serius dan mendasar. Malangnya saya perhatikan pemimpin Pakatan Rakyat sendiri pun tidak jelas dalam soal ini. Apa yang dicadangkan oleh suruhanjaya tadi elok, tetapi masih banyak perkara pokok yang perlu dibuat. Ini boleh dibuat dengan membuat kajian bandingan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Eropah. Struktur organisasi PDRM yang ada sekarang adalah warisan peninggalan penjajah dan zaman memerangi pengganas komunis. Struktur sebegitu tidak lagi sesuai. Dalam tempoh dua dekad kebelakangan ini ia sudah terbukti mengancam kebebasan dan demokrasi.
Kes pembunuhan ngeri jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya jelas menunjukkan betapa membanteras jenayah adalah sesuatu yang rumit dan mahal. Inilah sebenarnya peranan dan tugas utama PDRM. Sebab itu ia tidak harus terlibat dalam hal-hal yang boleh menyeretnya ke kancah politik.
Profesor Dr Abdul Aziz Bari telah mengajar undang-undang hampir 21 tahun.