Isnin, 12 April 2010

Rosmah Mansor ada pasukan media khas

Sumber berita dari Suara Keadilan 6-13 April 2010:

Ketika melaungkan keperluan rakyat berjimat cermat dan berbelanja secara berhemah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak berfikir dua kali untuk merestui penggunaan dana awam rakyat bagi memastikan isterinya Datin Seri Rosmah Mansur mendapat liputan meluas dalam lawatan pasangan itu ke Amerika Syarikat minggu depan.

Adalah difahamkan wartawan dari pertubuhan berita nasional Malaysia, Bernama dan RTM telah dikerah untuk memberi liputan penuh ke atas program Rosmah di Washington dan New York.

Inilah kali pertama media di Malaysia terpaksa mengutuskan dua pasukan berasingan - satu untuk liputan program Perdana Menteri dan satu lagi untuk aturcara isteri beliau.

RTM dan Bernama adalah agensi yang dimiliki penuh oleh kerajaan dan dana yang bakal digunakan oleh dua badan itu untuk meliputi aturcara Rosmah di Amerika Syarikat adalah wang rakyat.

Turut dikerah untuk mengikuti rombongan Rosmah adalah media arus perdana seperti TV3.

Liputan media untuk Najib adalah selaras dengan kedudukan beliau selaku Perdana Menteri.

Namun alasan itu tidak boleh digunapakai dalam kes Rosmah kerana beliau hanya bertindak mengiringi Najib dan bukan sebagai pemimpin kerajaan.

"Kami tidak mempunyai pilihan selain mengutuskan wartawan khusus untuk ikut sama Rosmah. Kami terpaksa ikut sahaja kerana ini arahan daripada atas," kata seorang wartawan kanan Bernama.

Adalah dianggarkan setiap media yang membuat liputan aturcara Rosmah, terpaksa membelanjakan sekurang-kurangnya RM50,000.

Keghairahan 'kem Rosmah' untuk memastikan beliau mendapat liputan meluas dalam media tempatan bukan perkara baru.

Sumber TV3 memberitahu, bilik berita stesen itu diarahkan memastikan setiap atur cara Rosmah digunakan dalam Buletin Utama, malah harus diselitkan sebagai antara bahan berita utama dalam rancangan sejam itu.
Related Posts with Thumbnails