Sabtu, 17 April 2010
Henti bekalan petrol ke Iran: Anwar kecam kerajaan melutut kepada Amerika!
KUALA LUMPUR, 16 April: Ketua Pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan BN seperti melutut kepada Amerika Syarikat apabila tidak tetap menyatakan pendirian berhubung isu penggunaan senjata nuklear.
Tegasnya juga, tidak salah untuk menjalinkan hubungan kerjasama dengan Amerika Syarikat, namun bukan menjadi 'pak turut' kepada negara itu sehingga tidak berani menentang kezaliman yang dilakukan Amerika Syarikat terhadap umat Islam.
"Saya nak sebut untuk kita berbaik dengan Amerika tidak apa, tetapi untuk melutut dasar Amerika menentang Iran dan memusnahkan Afghanistan, itu pengkhianatan kepada umat Islam dan negara ini. Apa kenyataan Perdana Menteri dalam isu Iran?
"Kalau kita katakan Iran tak berhak gunakan kekuatan nuklear untuk senjata munasabah tetapi mengapa Israel boleh, mengapa dia (Najib) tak berani menegur Israel dan melutut kepada Amerika Syarikat mengecam Iran di White House, tetapi tidak menegur Israel?
"Pendirian Umno ini yang kita tentang. Di Afghanistan, kita ambil sikap keputusan Obama undur tentera kita setuju, tetapi keputusan menyerang Afghanistan dari awal kita tentang. Perdana menteri Malaysia kata akan hantar 'training' di Afghanistan, 'training' apa bila mana umat Islam dibunuh di Afghanistan?
"Ini bezanya. Saya memang menghargai hubungan baik dengan Amerika tetapi tidak mengemis dan menjadi hamba abdi Amerika Syarikat," tegas beliau.
Beliau berkata demikian sewaktu perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan di peringkat jawatankuasa (Kementerian Luar Negeri) di Dewan Rakyat semalam sebagai membidas kenyataan Datuk Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) yang mendakwa beliau sangat berpengaruh di Amerika Syarikat disebabkan peranan media.
"Oleh kerana nama saya disebut, satu kira ini satu penghormatan kerana disebut oleh Pasir Salak dan juga Kota Belud, dia berhempas pulas nak pertahankan Apco dan Israel. Dia dengan Rembau sekarang jadi jurucakap Apco. Paling malu bagi umat Islam, apabila orang Melayu Muslim bangun untuk mempertahankan Apco dan kepentingan Israel.
"Saya tak pernah mengatakan saya berpengaruh di Amerika. Pendirian saya konsisten, kita pertahankan hubungan baik dengan semua negara termasuk Amerika Syarikat. Sebab itu saya tidak pernah berbohong kalau saya mengadakan pertemuan berkala dengan bekas Naib Presiden (Amerika) Al Gore sampai sekarang.
"Bezanya pimpinan kerajaan hari ini untuk mendapat dokongan Amerika terpaksa bayar RM78 juta kepada Apco. Dulu bayar RM4 juta kepada Jack Abrahamoff tauke judi maha besar di Amerika Syarikat . Ini kenyataan Pasir Salak, jangan pertikai untuk saya keluar bukti kerana bukti telah dikeluar. Kota Belud tidak berani bangun untuk pertahankan ini," katanya.
Dewan Rakyat semalam meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2010 untuk Kementerian Luar melibatkan peruntukan berjumlah RM110 juta.
Labels:
Kenyataan Akhbar