Dengan menolak andaian beliau bukan “anak tempatan”, Datuk Zaid Ibrahim yang malam tadi diumumkan calon Pakatan Rakyat (PR) bagi kerusi Hulu Selangor memberi jaminan kepada 64,000 pengundi bahawa mereka boleh mengharapkan “wakil rakyat yang baik” jika diberi mandat.
“Itu boleh diharapkan. Wakil rakyat yang cuba selesai masalah dia, wakil yang boleh bersuara bagi pihak dia (pengundi Hulu Selangor),” kata Zaid, bekas anggota Kabinet, malah tidak asing dalam arena politik negara ini.
Serangan pertama dituju ke arah beliau sebaik sahaja diumumkan sebagai calon adalah “Zaid bukan merupakan anak tempatan.”
Sehubungan itu tegas Zaid, soal anak tempatan atau pun tidak, ia bukan isunya dalam pilihan raya khususnya di Hulu Selangor.
Jelas Zaid, anak negeri Kelantan dan pernah bertanding di Kota Baru pada 2002, apa yang penting ialah sama ada wakil rakyat boleh memberi khidmat untuk memenuhi harapan dan menyelesaikan masalah pengundi.
“Ia (Hulu Selangor) hanya setengah jam perjalanan (dari ibu negara). Apa bezanya saya dengan orang yang tinggal di Rawang.
“Jadi dari segi fizikal, dari segi geografi, apakah saya orang luar? Orang luar dari mana? Saya orang Selangor. Tapi orang di Hulu Selangor pun tak duduk di situ pun. Ramai cari pekerjaan,” katanya.
“Itu bukan soalan dia. Soalan dia, apakah awak faham masalah Hulu Selangor dan macam mana hendak selasaikan masalah itu. Siapa yang lebih mampu menyelesaikan masalah... itu isunya, bukan di mana dia lahir. Kalau dilahir di Hulu Selangor pun, kalau dia tak faham, dia tak tahu, dia malas, apa gunanya?” katanya.
Dalam pertemuan dengan The Malaysian Insider semalam, jelas Zaid, debat mengenai “budak tempatan” atau “orang muda” tidak perlu dijadikan isu pilihan raya kecil di sini.
Sehubungan itu menurut Zaid, atas kapasiti sebagai ahli politik sepenuh masa beliau meluangkan masa yang secukupnya untuk kepentingan masyarakat Hulu Selangor.
“Banyak masa akan saya luangkan sebab saya tiada apa-apa kerja lain untuk dilakukan.
“Saya tidak terlibat dalam bisnes saya, saya tiada kerja. Tiada sebab mengapa... saya tiada kerja sepenuh masa, saya bukan pengarah syarikat besar. Saya ada banyak masa.
“Saya ahli politik seratus peratus, 110 peratus. Jadi saya tidak... jadi saya fikir saya boleh sangat berfokus. Sebagaimana saya mengatakan, saya boleh... tiada masalah. Hulu Selangor sangat dekat, saya boleh pergi bila-bila masa,” kata beliau.
Berkelulusan undang-undang, Zaid, 59, diumumkan dengan rasmi sebagai calon PR-PKR bagi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor.
Sambil merujuk kepada seorang Ahli Dewan Undangan Negeri yang dikenali sebagai “Che Lah” dari Tumpat pada 1960-an, Zaid memberitahu, beliau mahu berperanan sebagai seorang “Ahli Parlimen yang prihatin.”
Katanya, wakil rakyat itu popular kerana khidmat yang diberikan kepada masyarakat sehingga walaupun enggan bertanding pengundi mendesaknya bertanding.
“Bagi saya itu model contoh. Saya tidak berminat dengan glamor-glamor... tak payah.
“Saya mahu rakyat mengingati saya sebagai ahli politik penyayang... rakyat mengingati saya, saya tidak kisah jika yang lain tidak suka saya,” kata beliau sambil menambah aspek geografi tidak menjadi satu masalah untuk mendampingi rakyat jikan diberikan mandat pada 25 April ini,
“Saya akan memiliki pejabat (kekal) saya di Hulu Selangor,” kata anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR ini.
Ikuti temu bual penuh bersama Datuk Zaid Ibrahim:
TMI: Datuk pernah bertanding sebelum ini. Justeru adakah cabaran dan tanggungjawab kali ini lebih berat berbanding ketika pilihan raya umum 2004?
ZAID: Semua pilihan raya berat, tak ada pilihan raya yang tak berat. Kecuali kita ada undi pos 10,000 orang. Kalau kawasan kita ada undi pos, itu tak beratlah. Tapi kalau tak ada undi pos atau undi pos sikit, beratlah. Semua pilihan raya berat.
TMI: Tahun 2004, Datuk bertanding di kawasan Pantai Timur Kelantan, kawasan PAS, yang majoriti pengundi, 99 peratus adalah orang Melayu. Di sini senario mungkin berbeza dari Pantai Barat.
ZAID: Ya, semua tempat berbeza tapi masalah, isunya sama saja. Isunya lebih kurang. Kalau di Kelantan, di Kota Baru, ramai... 80 peratus Melayu di Kota Baru... jadi masa itu pun ada orang kata saya ini orang Melayu tak boleh terima. Hujah yang sama. Saya ini terlalu liberal, dia kata. Tapi saya menang juga. Saya percaya di The Star hari ini kata, misalnya The Star kata PAS tak boleh terima saya di Hulu Selangor. Inilah pemberitaan yang tak ada asas. Saya mendapati, kalau saya bertanding pun, PAS akan sokong kuat saya. Tak ada masalah.
TMI: Datuk yakin?
ZAID; Bukan saya yakin, saya tahu sebab saya sudah bercakap dengan mereka. Tak ada masalah, tak ada siapa yang tak suka saya bertanding, hanyalah calon-calon lain, yang hendak bertanding itu kan? Saya merasakan isunya adalah sama. Sama ada di Kota Baru, Hulu Selangor, saya rasa pengundi akan menilai siapa yang dia boleh percaya, siapa yang dia boleh rasa lebih berkemampuan untuk tolong dia. Itu saja. Kalau dia kata calon ini lebih sesuai dengan dia, dia pilih. Kalau dia tak suka, pilih yang satu lagi. Pada saya bangsa, status ekonomi, bandar, luar bandar... semua itu lebih kurang. Terlalu banyak orang membuat analisis bukan-bukan tentang saya. Jika pengundi suka pada calon, calon itu akan menang.
TMI: Dalam menghadapi pilihan raya kecil ini, bagaimana Datuk boleh gambarkan hubungan Datuk dengan PAS?
ZAID: Saya ini ahli Umno di Kota Baru dan PAS menang di Kota Baru sejak tahun 1990. Anda mesti ingat, pada 1990 PAS dan (parti) Semangat (46) menang dan selama 15 tahun. Hakikatnya saya menang sebab PAS (saya fikir) seharusnya telah menyokong saya, jika tidak macam mana saya boleh menang. Bermaksud penyokong-penyokong PAS... mereka yang bertanding sebelum saya kalah. Jadi, saya ada hubungan baik dengan rakyat biasa, anggota PAS biasa. Tak ada masalah. Itu maksud saya, ya.
Saya tiada masalah dengan anggota PAS tetapi mereka (sengaja) mereka cerita. Mereka cuba mereka cerita bahawa saya ini bukan popular di kalangan pengundi Melayu. Jadi saya menang di Kota Baru. Kota Baru bukannya kawasan bandar macam Kuala Lumpur pun. Ia pun bandar kecil. Penduduk juga dari kawasan pedalaman. Tak ada masalah. Jadi, rasa Hulu Selangor pun lebih kurang begitu.
TMI: Apakah cabaran yang Datuk mungkin hadapi sebagai calon pilihan raya kecil di Hulu Selangor?
ZAID: Barisan Nasional (BN) akan bermati-matian untuk memastikan saya tewas. Jadi bermacam-macam perkara akan mereka lakukan. Saya tak payah ulas tapi saya rasa kita faham.Itulah cabaran yang sebenarnya. Tapi kita boleh mengharapkan pengundi faham apa yang ‘what is at stake’ di Hulu Selangor. Perkara yang besar bergantung kepada Hulu Selangor. Perkara yang besar ialah pertamanya, apakah kita mahu negara ini terus diperintah oleh Barisan Nasional, parti atau kerajaan yang bukan saja, pada saya tidak menghormati peraturan dan undang-undang dan kerajaan yang menggunakan apa saja alasan untuk mengekalkan kuasa. Kita nak ke Barisan terus ataupun kita nak pastikan kuasa itu, suara rakyat itu didengar juga. Kalau kita nak suara rakyat didengar di Parlimen. Jadi, kita pilihlah parti pembangkang di Parlimen. Dan, saya bukan orang yang malu bersuara. Saya ini dalam kerjaya politik saya, saya tidak pernah takut untuk bercakap perkara yang saya rasa patut diutarakan. Jadi, itu isunya dari segi politik nasional.
Apakah orang Hulu Selangor mahu suara rakyat didengar di Parlimen dan menyentuh dasar-dasar negara. Yang lain itu adalah isu tempatan. Yang isu tempatan pun mudah juga. Siapa yang dia pilih mampu menyelesaikan masalah. MIC dah empat penggal, 18 tahun. Jadi kalau orang Hulu Selangor hendak teruskan MIC, dia pilih MIC lah... kalau dia puas hati dengan MIC punya prestasi. Tapi kalau kita lihat masalah yang adanya sekarang ini, saya rasa MIC telah gagal di Hulu Selangor. Itu kalau kita nak pilih orang yang gagal lagi, tak tahulah saya.
TMI: Adakah MIC gagal dan BN juga gagal?
ZAID: Yalah, sama... MIC, BN itu sama. Sebab itu masalah rumah terbengkalai, masalah tanah geran tak keluar, masalah permohonan tanah tidak diproses berpuluh-puluh tahun, masalah ladang, pekerjaan yang berkurangan di Hulu Selangor, masalah orang-orang Felda yang tidak dibela. Geran Felda tidak diberi, potongan Felda terlalu tinggi, inilah masalah. Jadi kalau kita kumpulkan masalah Orang Asli, tanah juga dirampas untuk pembangunan. Jadi, kalau kita kumpulkan masalah-masalah di Hulu Selangor ini, kita bertanya siapa yang faham isu ini dan siapa yang mampu. Jadi, saya rasa saya lebih mampu dan lebih faham dan kerajaan negeri Selangor ialah kerajaan Pakatan. Jadi, kalau kita nak selesai masalah tanah dan masalah perumahan, masalah pelaburan di Hulu Selangor, masalah tempatan, kita kena selasai dengan kerajaan negeri. Jadi, eloklah pilih wakil rakyat yang mewakili Pakatan Rakyat.
TMI: Sebagai calon, apa yang Datuk hendak tawarkan kepada pengundi Hulu Selangor?
ZAID: Satu, calon mesti faham masalah. Kalau anda tidak faham masalah orang Hulu Selangor, macam mana anda hendak menawarkan penyelesaian.
TMI: Kalau begitu, Datuk sudah faham masalah penduduk Hulu Selangor dengan mendalam?
ZAID: Saya tahu. Dan, saya hendak cakap pasal orang luar dan dalam. Selalu cakap kan? Ia bukan soal luar dalam. Tetapi yang penting dia kena tahu masalahnya dan menyelesaikannya. Itu persoalannya. Saya tinggal di Selangor ini sudah 30 tahun walaupun saya lahir di Kelantan. Saya tinggal di Selangor, Petaling Jaya. Jadi, saya bukanlah orang luar.
TMI: Bermaksud hendak menekankan bahawa tidak jauh dari Hulu Selangor?
ZAID: Ia hanya setengah jam perjalanan. Apa bezanya saya dengan orang yang tinggal di Rawang. Jadi dari segi fizikal, dari segi geografi, apakah saya orang luar? Orang luar dari mana? Saya orang Selangor. Tapi orang di Hulu Selangor pun tak duduk di situ pun. Ramai cari pekerjaan. Itu bukan soalan dia. Soalan dia, apakah awak faham masalah Hulu Selangor dan macam mana hendak selasaikan masalah itu. Itu siapa yang lebih mampu menyelesaikan masalah... itu isunya, bukan di mana dia lahir. Kalau dilahir di Hulu Selangor pun, kalau dia tak faham, dia tak tahu, dia malas, apa gunanya? Jadi debat, perbincangan mengenai budak tempatan, pada saya tidak perlu. Balik kepada soal seperti saya kata tadi, saya ada hubungan baik dengan Exco Selangor, jadi banyak perkara yang saya boleh cuba tolong. Kalau saya dah kenal dia orang, parti yang sama, saya yang lebih baik daripada MIC. Tak ada sebab pun orang Hulu Selangor hendak pilih parti yang telah mewakili mereka 18 tahun, masalah tidak selesai. Jadi, untuk apa?
TMI: Adakah Datuk bermaksud bahawa mereka (BN) tidak harus diberikan peluang kedua?
ZAID: Cukuplah, berapa kali tu? Lapan belas tahun tu... macam nak bagi Mahathir lagi peluang, misalnya. Anda sudah 22 tahun, cukup lah. Umumnya macam itulah. MIC sudah 18 tahun, jadi berapa lama lagi anda hendak beri, lagi 18 tahun sebelum masalah anda diselesaikan? Tidak boleh, tidak ada sebab orang Hulu Selangor harus memberi MIC satu lagi penggal. Anda harus cuba saya.
TMI: Mereka juga mendakwa mahukan calon muda?
ZAID: Saya pun muda juga. Saya bukan 70. Saya cuma 59 tahun.
TMI: Matlamat Datuk mahu jadi Ahli Parlimen bagi kawasan Hulu Selangor?
ZAID: Ya, sebagaimana saya katakan tadi, saya hendak menyuarakan hasrat rakyat, hasrat rakyat menikmati kebebasan, hasrat rakyat mencari peluang ekonomi lebih baik, hasrat peneroka Felda untuk hidup lebih baik. Misalnya, Felda itu, anda sedia tahu, satu konglomerat yang besar dan kaya tapi peneroka Felda masih miskin. Saya nak cuba mempertahankan kedudukan, kepentingan mereka. Saya nak cuba hendak dapatkan geran-geran tanah kepada mereka dan tidak ada tanah, yang minta tanah, yang telah 20 tahun menunggu. Saya hendak perjuangkan hak Orang Asli, saya nak memperjuangkan nasib orang India yang tinggal di ladang atau mereka diberhentikan kerja. Ramai juga pemuda India mencari peluang pekerjaan. Jadi saya akan cuba meyakinkan negeri Selangor bawa pelaburan, pembangunan, industri baru supaya kita boleh adakan lebih banyak peluang pekerjaan. Inilah kerja-kerja wakil rakyat.
TMI: Tinjauan Malaysian Insider semalam (kelmarin) di DUN Hulu Bernam, Kuala Kubu dan Batang Kali. Kita buat perbandingan populariti Datuk. Di dua kawasan, di Batang Kali dan Kuala Kubu Baru, 60 peratus bersedia untuk menerima Datuk. Di Hulu Bernam 90 peratus. Datuk tidak pernah pergi sana, tapi bagaimana Datuk melihat peratusan populariti ini? Bagaimana Datuk boleh terjemahkan dalam bentuk sokongan?
ZAID: Saya tak tau lah. Saya tidak tahu mengapa tetapi saya cuba buat andaian sahaja.... saya rasa saya ni, cara politik saya mudah saja. Saya mahukan keadilan untuk rakyat. Saya hendakkan rakyat ada keadilan, itu sebabnya. Saya cuma memperjuangkan apa yang patut, bukan saja dari segi undang-undang, tapi dari segi ekonomi dan kedudukan. Saya fikir, saya ahli politik rakyat. Bercakap jujur, saya tidak berminat dalam apa-apa isu. Disebabkan latar belakang saya, saya memikirkan kepentingan masyarakat kita, negara kita ini. Jurang kaya miskin terlalu besar. Orang kaya boleh melakukan apa yang mereka suka, syarikat besar buat apa saja mereka suka. Jadi saya lebih suka membela orang orang. Saya rasa jika anda tanya saya mengapa saya popular dengan rakyat biasa kemungkinan kerana ini. Tapi Umno akan cuba, Barisan akan cuba melakukan cara bertentangan bahawa Zaid ini tak popular dengan orang Melayu dan orang-orang biasa. Itu strategi politik mereka.
TMI: Bagaimana Datuk hendak menghadapi situasi ini?
ZAID: Rakyat ini bijak. Propaganda ini, dia punya nilai agak terbatas pada zaman sekarang ini. Saya tidak risau dengan itu. Saya fikir orang ramai akan menggunakan kebijaksanaan mereka, rakyat akan menggunakan pengalaman, mereka tahu macam mana hendak membuat keputusan. Jadi saya rasa propaganda Umno ini, ya, dia ada TV, radio, dia ada surat khabar, ada orang percayalah tapi saya rasa majoriti rakyat akan menilai.
TMI: Adakah landskap politik semasa, lebih-lebih lagi selepas tsunami politik 2008, akan memberi kelebihan kepada Datuk menghadapi cabaran kali ini?
ZAID: Saya rasa rakyat sekarang banyak benda dia tahu, tidak seperti dulu. Itu yang saya katakan, bila rakyat lebih mengetahui, lebih faham, susahlah orang hendak putar belit. Jadi, bila rakyat lebih tahu maka saya yakin dia akan buat pilihan yang betul.
TMI: Strategi untuk menghadapi saingan kali ini?
ZAID: Strategi saya, kalau ada pun, takkan hendak cakap dengan kamu. Kalau cakap dengan kamu, tak strategi lah. Jadi, apabila ada orang kata dia ada strategi bermakna sebenarnya mereka tiada strategi. Jika anda ada strategi, anda tidak akan memberitahu orang. Adakah anda pernah mendengar ada strategi yang pernah diperjelaskan? Mana boleh? Tak bolehlah.
TMI: Apa yang rakyat boleh mengharapkan daripada Datuk sebagai calon dan jika dipilih sebagai wakil rakyat kelak?
ZAID: Rakyat boleh mengharapkan wakil rakyat yang baik. Itu yang boleh diharapkan. Wakil rakyat yang cuba selesai masalah dia, wakil yang boleh bersuara untuk bagi pihak dia. Cukup lah. Itu kerja orang kira baik dah.
TMI: Yang keluar PKR tiga orang dan seorang yang dipecat, adakah mereka yang pernah sebarkan kata ‘Little Napoleon’ semua tu, adakah mereka yang keluar parti tu boleh menjejaskan peluang Datuk?
ZAID: Tak ada, tak ada. Saya harap mereka datang ramai-ramai, yang keluar parti tu. Baru kita tahu dia orang ini ada pengaruh atau tidak. Saya percaya mereka akan turun... baguslah. Kita tak ada masalah, rakyat menentukan.
TMI: Di mana-mana pilihan raya kecil, jentera BN memang suatu yang begitu kuat, dengan ‘goodies’ diberikan. Adakah ia akan memberi kesan kepada kempen?
ZAID: Memanglah. Memang jentera BN ini kuat, kita tahu semua. Sebab jentera dia jentera kerajaan, jentera pusat. Memang kuat... tapi dia kuat semua pun yang di tempat yang kalah pun dia kuat juga. Jentera ini satu aspek... ada banyak lagi aspek lain yang boleh menentukan menang kalah. Kita pun kuat juga. Kita jentera rakyat. Jadi, kita lawanlah jentera BN dengan jentera rakyat, kita tengoklah siapa kuat, 25 haribulan lah, betul tak? Kalau rakyat ? BN, kita tak kuatlah. Jentera ini ada dua macam, satu jentera upahan, satu jentera sukarela. Siapa yang banyak sukarela tu, itu yang menang.
TMI: Bermula dengan jentera BN dan sekarang ada dalam jentera Pakatan. Adakah pengalaman masa di jentera dalam BN akan membantu Datuk dalam pilihan raya kecil ini?
ZAID: Tak ada. Jentera BN pun tak adalah susah sangat. Jentera BN ini banyak jabatan kerajaan, sekolah, cikgu sekolah, jentera pejabat-pejabat kerajaan, itu saja. Tidak ada benda yang sulit, cuma dia banyak duit. Tapi kita pun ada orang ramai, kita ada penyokong kuat. Jadi walaupun kita tak ada duit, tapi harap-harapnya kita seimbang.... kita akan dapat mengatasi kuasa dia.
TMI: Kerajaan negeri Selangor adalah di bawah pimpinan Pakatan Rakyat, sejak dua tahun yang lalu. Adakah ia boleh menjadi satu kelebihan kepada Datuk?
ZAID: Oh ya, sudah pasti. Ini kerana pilihan raya ini bukan tentang diri saya. Sebagaimana anda kata, ia mengenai kerajaan negeri. Saya ini calon sahaja. Ia mengenai Exco kerajaan, bagaimana mereka memperlihatkan prestasi.
TMI: Bagaimana Datuk melihat peluang memenangi pilihan raya ini?
ZAID: Ia bergantung kepada penduduk Hulu Selangor. Jika mereka sokong saya, maka peluang saya adalah baik.
TMI: Berdasarkan bacaan Datuk?
ZAID: Tidak... saya tidak membuat bacaan.
TMI: Jika Datuk berjaya dalam pilihan raya kecil ini, berapa banyak masa yang Datuk akan luangkan di bahagian Parlimen ini?
ZAID: Oh, banyak masa akan saya luangkan sebab saya tiada apa-apa kerja lain untuk dilakukan. Saya tidak terlibat dalam bisnes saya, saya tiada kerja. Tiada sebab mengapa... saya tiada kerja sepenuh masa, saya bukan pengarah syarikat besar. Saya ada banyak masa. Jadi saya akan menghabiskan kebanyakan masa saya di sana sebab itu saya punya... itu satu-satunya perkara yang saya akan lakukan sebab saya tiada kerja lain. Saya ahli politik seratus peratus, 110 peratus. Jadi saya tidak... jadi saya fikir saya boleh sangat berfokus. Sebagaimana saya mengatakan, saya boleh... tiada masalah. Hulu Selangor sangat dekat, saya boleh pergi bila-bila masa. -TMI