Artikel saya ‘Telan Air Ludah Ustaz’ telah meresahkan JAIS. Pengarahnya minta saya buat kenyataan secara jelas atau terbuka di media siapakah tokoh yang dimaksudkan. Tadi JAIS menghantar surat ala ugut-ugutan kerana isu tersebut dan memerintahkan saya hadir untuk merakam perbualan. Jika tidak akan diambil tindakan! Begitulah JAIS. Peguam saya sedang meneliti surat itu di sudut undang-undang.
Dalam artikel saya itu saya menyebut: “Berbagai sumber yang boleh diyakini memaklumkan kepada saya bahawa di Selangor ada seorang tokoh agama yang mengadakan ‘upacara’ orang ramai menelan air liurnya untuk keberkatan. Upacara itu pula dibuat di masjid. Apa tidaknya, beliau ada tauliah dan berjawatan di negeri berkenaan. Pengikutnya atau hadiran yang menghadiri kuliah disuruh berbaris dalam masjid lalu ‘menikmati’ seorang sedikit air liur tokoh agama aliran tarekat itu yang di masukkan ke dalam mulut mereka. Beliau mendakwa inilah ajaran Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Kononnya untuk mendapatkan keberkatan beliau! Ada banyak perkara yang boleh ditanya. Demikian mudah nama Ahlus Sunnah dipergunakan dan tidak pula dikenakan tindakan oleh JAIS”.
Beberapa orang telah menghubungi saya dan memaklumkan mereka sudah pun menelefon dan memberikan maklumat kepada JAIS tentang hal tersebut. Namun Pengarah JAIS terus sahaja menyatakan kepada media mereka tiada maklumat. Memang menghairankan. Mereka mahu saya membuat kenyataan rasmi. Peguam-peguam saya seakan boleh menghidu sesuatu. Jika kenyataan rasmi dibuat, penasihat-penasihat undang-undang saya bimbang secara teknikal ‘episod’ perundangan yang lain akan dimulakan dan akhirnya kes tersebut mungkin tidak ke mana, kes baru akan ditimbulkan. Itu nasihat mereka, ‘jangan terperangkap, artikel saya umum dan tugas JAIS mencari fakta, bukan bermusuh dengan mereka yang mendedahkan kesalahan itu secara umum’, nasihat mereka.
Padahal jika kita lihat entah berapa ramai penceramah tanpa tauliah ditahan walaupun bercerita di tempat yang tertutup. Siapakah yang beri maklumat? Adakah dia perlu hadir untuk sessi rakaman perbualan kerana memberi maklumat? Adakah JAIS ada rakaman pemberi maklumat maklumat sehingga membolehkan mereka bertindak kepada Dr Abdullah Yasin, saya dan lain-lain. Sedangkan ceramah-ceramah tersebut bukan di masjid dan belum tentu boleh dikatagorikan sebagai ceramah agama. Kes-kes skodeng pasangan untuk tangkap khalwat, siapa pemberi maklumat? Adakah JAIS bertindak setelah mereka datang memberi maklumat yang dirakam? Tidakkah kebanyakan hanya melalui panggilan telefon? JAIS jangan double-standard. Firman Allah (maksudnya) :
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”. (Surah al-Maidah: ayat 8).
Saya sudah lama tidak menyebut nama Datuk Khusrin (DK). Dengar pun dah jarang. Kali terakhir saya dengar kawan saya seorang YB yang dah berubah parti memberitahu dia jumpa DK dan bertanya: “Enta ni yang dok sibuk orang itu orang ini tiada tauliah ni, enta lulusan mana?”. Saya diam sahaja mendengar ceritanya. Cuma saya tanya dia kata apa?. Kata dia: “Masam kerut muka”. Saya malas nak sebut nama DK. Tapi ini mungkin sudah melampau. Saya mengelakkan sebut nama Khusrin atas beberapa sebab. Pertama, saya hanya tahu beliau dari jauh. Banyak email dan maklumat ‘siapa beliau’ yang dihantar kepada saya. Saya tidak ambil pusing sangat kerana itu masalah terlalu peribadi. Kedua, saya keberatan menyebut namanya kerana sebagai seorang yang tahu bahasa Arab, perkataan khusrin bermaksud ‘satu kerugian’. Sesiapa yang baca Surah al-‘Asr, dengan sendirinya tahu maksud tersebut. Saya lebih selesa sebut ‘Pengarah JAIS’ sahaja. Sahabat-sahabat ada yang bergurau kata mereka ‘kalau ada Asri tentu lepas itu Khusrin’. Mereka barangkali merujuk kepada Surah al-‘Asr yang menyebut perkataan ‘Asr dan khusrin. Ya, biarlah itu nama beliau. Rugi atau untung pilihan beliau sendiri! Cuma jangan bertindak merugikan diri di dunia dan di akhirat. Jawatan akan berakhir, tidak menongkat langit. Sikap yang jujur atau sebaliknya dicatat malaikat dan manusia sehingga selepas mati. Artikel ini pun akan dikenang. Setiap pemimpin akan bertanggungjawab di akhirat kelak. Sabda Nabi s.a.w:
“Tiada seorang pemimpin yang memimpin sepuluh orang (dan ke atas) melainkan dibawa datang pada hari kiamat dalam keadaan diikat. Tidak akan melepaskannya melainkan keadilan, atau dia akan dibinasakan oleh kezaliman” (Riwayat Ahmad, Abu Ya’la dan al-Baihaqi, dinilai sahih oleh al-Albani).
Apapun, saya percaya pihak DK ini telah ada maklumat. Pelik, mengapa beliau masih tidak mahu siasat dan menyatakan tiada siapa beri maklumat. Saya di Penang tahu. Ramai sahabat-sahabat penceramah yang saya tanya mereka pun beritahu mereka dengar hal yang sama. Sepatutnya JAIS berterima kasih kerana ada pihak yang cuba hentikan satu perbuatan yang penuh kebodohan. Bukan kerja saya untuk pergi buat siasatan. Saya sudah buat pendedahan tanpa nama dan tempat, maka kerja JAISlah setelah diberi maklumat untuk bertindak berdasarkan maklumat orang ramai. Adakah JAIS pun akan mencari pengadu dan menghukum mereka?!
Ya Khusrin, anta khatir.. bukan sedikit perkara yang orang adu kepada saya. Baru satu yang saya sebut. Ini pun ada lagi satu rakaman yang mungkin DK terpaksa menjawab juga nanti. Satu penilaian adil perlu dibuat. Ada lagi beberapa bahan yang telah sampai, saya beritahu pengirim-pengirim tersebut, isu-isu peribadi itu bukan kegemaran saya. Isu-isu yang seperti itu mungkin hanya saya boleh kata secara umum “jangan nakal-nakal”. DK mungkin faham apa maksud saya di sini. Saya mahu isu yang membabitkan kepentingan umat.
Akhirnya saya nasihat DK dan JAIS akan kita semua merenung perkataan Saidina Ali bin Abi Talib:
“Sesungguhnya binasanya manusia terdahulu kerana mereka menghalang kebenaran sehingga ianya dibeli. Mereka membentangkan kezaliman sehingga ianya ditebus”. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/201).
Datuk Khusrin, gunakan kuasa dengan baik, jangan double standard dan ‘jangan nakal’!
http://drmaza.com/home/?p=1086#more-1086