Merujuk kepada perkara diatas, saya pernah bekerja dengan Datuk Zaid (Foto) di Yayasan Pemulihan Orang Cacat Kelantan (YPOCK) pada tahun 2000 - 2001.
Sekarang saya dengar nama Yayasan itu telah bertukar. Semasa itu saya adalah Ahli Fisioterapi yang di gajikan oleh Datuk Zaid untuk merawat kes-kes seperti 'Down Syndrome', 'Cerebral Palsy ', 'Hemiplegia', 'Poliomyelitis' dan lain-lain.
Antara tugasan saya ialah mendaftarkan semua orang cacat tidak kira cacat anggota, pekak dan bisu, buta dan membantu mereka untuk didaftarkan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Untuk membantu mereka ini kami menyediakan khidmat pengangkutan dari rumah mereka (berserta dengan pembantu untuk mengangkat/memimpin/menyediakan kerusi roda) ke pejabat JKM dan seterusnya dari JKM pulang ke rumah mereka tanpa sebarang bayaran.
YPOCK juga mempunyai rekod semua klien dari segi butiran peribadi dan status kewangan mereka. Saya masih ingat menerima arahan dari Datin Suliana (isteri Datuk Zaid) untuk menyampaikan wang zakat dan derma untuk klien YPOCK yang tidak dapat hadir ke majlis penyampaian zakat dan derma yang di sempurnakan oleh Datuk Zaid Ibrahim.
Saya beserta warga kerja YPOCK yang lain seperti En Ishak, Kak Bibah, Hazizul (dan lain-lain yang saya tidak dapat ingat nama mereka) pergi kerumah klien YPOCK untuk menyampaikan derma dan zakat, bukan sahaja di Kota Bahru, adakalanya sampai ke jajahan Tumpat.
YPOCK semasa itu merupakan payung kepada semua persatuan orang cacat lain di Kelantan. Banyak aktiviti dilakukan di bangunan YPOCK. Antaranya kelas komputer untuk orang-orang cacat, latihan angkat berat dan jasmani untuk atlet OKU yang akan mewakili Kelantan di Sukan OKU Peringkat Kebangsaan di Kuala Lumpur.
Aktiviti teras YPOCK adalah untuk memberi rawatan fisioterapi kepada klien yang berdaftar dengan Yayasan. YPOCK mempunyai peralatan yang mencukupi untuk merawat klien. Ini termasuk 'horse riding therapy' untuk kanak-kanak 'Cerebral Palsy ' yang tiada keseimbangan badan. Rawatan ini diberikan di 'horse farm' di belakang bangunan YPOCK.
Sebenarnya rawatan jenis ini pun tiada di hospital kerajaan. Alangkah bertuahnya klien YPOCK kerana semua rawatan diberi secara percuma. Yang tiada kemudahan pengangkutan juga diberi kemudahan pengangkutan secara percuma.
Apa yang saya dedahkan diatas adalah benar belaka. Bangunan YPOCK di Jalan Padang Tembak, Pengkalan Chepa itu dirasmikan oleh Tun Abdullah Badawi sekitar tahun 1999. YPOCK pernah menerima Lawatan dari Tun Siti Hasmah (isteri Tun Dr Mahathir) dan Datuk Dr Siti Zaharah, mantan Menteri Kebajikan Masyarakat.
Apa yang saya nyatakan bukan untuk kempen Datuk Zaid tetapi menyatakan kebenaran apa yang Datuk Zaid pernah lakukan untuk masyarakat cacat yang mana lapisan masyarakat ini pada hakikatnya selalu dipinggirkan dan dipandang hina.
Lihat sahaja bagaimana P.Ramlee pernah menggambarkan penghinaan pada OKU dalam filem 'Sumpah Orang Minyak'. Tetapi Datuk Zaid telah mencurahkan bakti ini bukan kerana pilihanraya Hulu Selangor malah telah melakukanya lebih dari 10 tahun yang lalu.
Saya sedih dengan serangan peribadi yang memburukan Datuk Zaid. Tetapi lupakah kita bahawa Allah SWT itu Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Pengampun? Semuga Allah SWT mengampunkan kita semua.
Sekian. Terima kasih.
Mohamed Nor bin Salim Perunding Fisioterapi YPOCK 2001
[Surat pembaca Harakahdaily] |