Selasa, 20 April 2010

Julia Perez: Saya tidak pernah berzina

JAKARTA: Artis seksi Indonesia, Julia Perez atau lebih dikenali dengan panggilan Jupe berkata cadangan syarat baru bahawa penzina tidak layak menjadi calon dalam pemilihan ketua daerah tidak mengecualikan beliau daripada bertanding.

“Saya tidak pernah melakukan perbuatan zina,” kata Jupe ketika ditanya pandangan beliau sekiranya akan menarik diri sebagai calon ketua daerah Pacitan, daerah asal Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.
Sebelum ini Menteri Dalam Negeri, Gamawan Fauzi berkata akan mengkaji semula undang-Undang berhubung Pemilihan Kepala Daerah (Bupati), termasuk mengenakan larangan terhadap mereka yang didapati berzina atau terbukti memiliki video zina.
Selain itu syarat lain termasuk calon perlulah mempunyai pengalaman dalam bidang politik, organisasi kemasyarakatan atau sekurang-kurangnya pernah menjadi anggota perundangan.

Ketika diminta menjawab soalan mengenai larangan terhadap calon yang pernah melakukan hubungan luar nikah daripada menjadi calon Bupati, Jupe berkata: “Itu bagus kerana bagi saya seorang pemimpin perlu jauh daripada hal-hal berkaitan dengan perbuatan zina,” katanya.

“Sebagai anak bangsa, sebagai generasi muda, saya sudah bersedia. Kalau saya tidak bersedia bermakna saya tidak memberi laluan kepada generasi muda untuk terus maju,” kata Jupe.

Mengenai cadangan memperkenalkan syarat baru itu, Julia berkata ia satu cubaan kerajaan menghalangnya daripada bertanding.
“Ia ditujukan kepada saya,” kata aktres dan pemuzik itu.

Bagaimanapun, Gamawan menafikan cadangan itu menyasarkan mana-mana selebriti dan menjelaskan langkah itu ‘bagi mengelak mereka yang tidak tahu apa-apa, menjadi ketua daerah hanya kerana populariti.”

Julia menegaskan beliau memiliki sokongan lapan parti pada peringkat daerah termasuk Parti Hati Nurani Rakyat (Hanura), Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) dan Parti Amanat Nasional (PAN) dan ‘100 peratus serius’ untuk bertanding dalam pilihan raya. – Agensi
Related Posts with Thumbnails