Khamis, 5 April 2012
Mahfuz reka 'cerita karut jahat', kata SPR
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Ahli Parlimen PAS Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, bahawa beliau terlibat dalam 'pasukan petugas' yang didakwa memberi kerakyatan kepada warga asing untuk membolehkan mereka mengundi.
Dalam mesej teks kepada Malaysiakini, Wan Ahmad (kanan) berkata Mahfuz, yang menamakan beliau dalam satu sidang akhbar semalam, telah sengaja mengheretnya ke dalam "cerita karut" rekaannya yang bertujuan untuk "merosakkan integriti SPR".
Wan Ahmad menyifatkannya sebagai satu perbuatan jahat dan tidak bertanggungjawab oleh Mahfuz.
Sebaliknya, kata Wan Ahmad, beliau tidak tahu tentang tuduhan terhadapnya itu.
"Dia sengaja mengaitkan nama saya ,timbalan pengerusi SPR, dalam cerita rekaannya itu untuk modal politik bertujuan untuk mengaitkan SPR dalam aktiviti sedemikian.
"Objektifnya untuk merosak integriti dan kredibiliti SPE sebagai badan bebas dan berkecuali di bawah Perlembagaan," kata Wan Omar.
Katanya, beliau akan mendapatkan nasihat penasihat undang-undang suruhanjaya itu sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.
Wan Ahmad adalah antara lapan individu yang dinamakan oleh Mahfuz sebagai sebahagian daripada anggota pasukan petugas yang didakwanya itu.
Yang lainnya yang didakwa oleh Mahfuz - nama mereka tidak disiarkan oleh Malaysiakini sementara menunggu komen mereka - adalah pegawai-pegawai kanan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Seorang lagi yang turut dinamakan adalah seorang pembantu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.
Labels:
Kenyataan Blog