SHAH ALAM – Wajah muda, penampilan menarik, malah petah berkata-kata.
Itu daya penarik dimiliki Ahmad, lelaki didakwa penggerak utama sebuah ajaran diragui hala tujunya dikenali Ajaran Ahmad 100.
Kelebihan
dimiliki itu diguna sepenuhnya Ahmad untuk mempopularkan ajarannya yang
berpusat di sebuah kediaman di Wangsa Maju, Kuala Lumpur menerusi gerak
kerja merekrut pengikut seluruh negara menerusi konsep ceramah berunsur
agama dengan dilazatkan dengan kata-kata manis berunsur nasihat.
Bergerak
secara sulit menerusi beberapa siri pertemuan rahsia di kediaman
terbabit bagi mengelak dihidu pihak berkuasa, misi Ahmad selaku
penggerak utama ajaran tersebut ialah mahu melahirkan 25 pengikut yang
beriman selain bernafsu menikahi 13 wanita.
Pelik
dan meragukan! Malah, menerusi siasatan Sinar Harian berdasarkan
maklumat diterima, Ajaran Ahmad 100 banyak mengetengahkan kelicikan dan
kehebatan Ahmad bermain kata-kata. Dalam erti kata lain, ‘ayat power’
Ahmad ini berjaya mempengaruhi ramai pengikut hingga ada sanggup
menggadaikan isteri semata-mata mahu menjadi pengikut taat dan
diberkati.
Berdasarkan
pengakuan beberapa bekas pengikut kepada Sinar Harian, mereka sanggup
menyerahkan isteri masing-masing sebagai pemuas nafsu Ahmad menerusi
perkahwinan batin selepas terpengaruh janji kurniaan keberkatan hidup di
dunia dan akhirat.
“Kami
jahil agama, kami terpesona dengan ‘kejujuran’ Ahmad 100, tetapi
akhirnya kami terpedaya, isteri kami jadi mangsa nafsunya.” Itulah
antara luahan kekesalan bekas pengikut termasuk salah seorangnya
mengalirkan air mata sedih berbaur kesal dalam satu pertemuan dengan
Sinar Harian, baru-baru ini.
Pada
pertemuan itu juga, bekas pengikut Ahmad 100 ini juga mendedahkan,
isteri masing-masing diserahkan kepada Ahmad untuk dikahwini secara
batin dan sekiranya isteri mereka gagal memikat dan menaikkan nafsu
syahwatnya, Ahmad akan menceraikannya dan dibuang daripada kumpulan
dengan alasan dia tidak layak menjadi pengikutnya.
Paling
tidak masuk akal, Ahmad ini juga didakwa mengelirukan pengikutnya
apabila mengakui diri sebagai Imam Mahdi yang mempunyai mukjizat boleh
bertemu Malaikat, ALLAH serta mendakwa dia adalah pemimpin alam jin
menerusi wahyu diturunkan kepadanya.
Salah
seorang daripada bekas pengikutnya yang dikenali sebagai Abu (bukan
nama sebenar), 37, yang kini terpaksa menerima hakikat rumah tangganya
musnah gara-gara ajaran sesat itu.
Abu
berkata, pada awalnya dia tertarik menyertai kumpulan itu selepas kagum
dengan cara Ahmad yang menasihatinya supaya menjadi orang diredai dan
dikasihi ALLAH SWT.
“Kami
bertemu di sebuah restoran pada mulanya mahu membincangkan bab
pengurusan kewangan dan kemudian bertukar ke topik hukum merokok
menyebabkan saya yakin dengannya kerana setiap kata-katanya berlandaskan
al-Quran malah dia anggap diri saya kafir dan memerlukan bimbingan dan
perlu menempuh ujian untuk menjadi seorang yang beriman,” katanya.
Menurutnya,
Ahmad yang ketika itu sudah mempunyai dua isteri memberitahu, isteri
Abu, Zawiyah, 35, seorang yang baik dan perlu berkahwin dengannya untuk
mendapat keberkatan.
“Bermula
pada saat itu, saya dan isteri mula dipisahkan secara perlahan-lahan
dan licik serta isteri saya tinggal sebilik dengan Ahmad tahun lalu.
“Bagi
Ahmad, tidur sebilik dengan isteri saya adalah halal kerana ia adalah
satu cara untuk menguji ketaatan dirinya kepada Tuhan dan keadaan itu
berlarutan selama setahun sebelum isteri meminta cerai kerana tidak
boleh meninggalkan Ahmad,” katanya.
Abu
berkata, sebelum berpindah ke Kuala Lumpur, isterinya sering
berulang-alik dari rumahnya di Kedah ke Kuala Lumpur untuk menemui Ahmad
dengan menggunakan alasan belajar agama.
“Keadaan
bertambah sukar apabila isteri berubah dan menganggap Ahmad adalah
segalanya dan sanggup meninggalkan saya dan ibu bapanya semata-mata
kerana lelaki itu,” katanya.
Dia
mula menyedari bahawa ajaran Ahmad terpesong, namun gagal berbuat
apa-apa kerana setiap pergerakan isterinya dipantau pengikut setia
Ahmad.
Lebih
memeritkan lagi, Ahmad turut memaksa isterinya menggugurkan kandungan
yang berusia 10 minggu dan menetapkan dalil bahawa dirinya tidak boleh
memiliki zuriat.
Abu berkata, dia turut dituduh membakar dua kereta milik Ahmad gara-gara cuba membawa Zawiyah pulang ke pangkuannya.
Tidak
berpuas hati dengan apa yang berlaku, dua laporan dibuat kepada Jabatan
Agama Islam Wilayah Persekutuan pada Februari lalu.
(www.sinarharian.com.my)