KUALA
LUMPUR: Beberapa laluan utama menuju ke ibu negara mengalami kesesakan
teruk pagi ini akibat banjir kilat dan kemalangan kecil berikutan
hujan lebat sejak awal hari ini.
Antara kawasan yang mengalami kesesakan ialah Lebuhraya Persekutuan,
Jalan Lingkaran Tengah 2, Lebuhraya Sungai Besi dan Duta-Ulu Kelang
Expressway.
Kesesakan itu juga berpunca daripada penutupan Terowong Stormwater
Management And Road Tunnel (SMART) bermula jam 7 pagi tadi. Menurut
jurucakap SMART penutupan itu bagi membolehkan air banjir disalurkan ke
terowong tersebut untuk mengatasi banjir kilat di beberapa laluan
termasuk di hadapan Menara Tabung Haji di Jalan Tun Razak dan Jalan
Jelatek di Keramat.
Jurucakap Polis Trafik Kuala Lumpur pula berkata, kesesakan lalu lintas
berlaku di hampir semua laluan menuju ke ibu kota namun keadaan adalah
terkawal.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia menyatakan ribut petir dan
hujan lebat di beberapa tempat di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan
Selangor termasuk di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor,
Gombak, Petaling dan Hulu Langat akan berterusan sehingga tengah hari
ini.
Turut mengalami keadaan sama ialah Ledang, Muar, Batu Pahat, Pontian,
Kulaijaya, Johor Baharu dan Kota Tinggi di Johor serta Jasin di Melaka.
Keadaan serupa juga dijangka berlaku di Segamat, Johor serta Melaka
Tengah dan Alor Gajah di Melaka, yang mungkin menyebabkan angin kencang
serta banjir kilat.