Kes Anwar : Politik Murahan Semakin Liar Di Malaysia
Esok perbicaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersambung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Hari ini PERKASA dan satu lagi pertubuhan tajaan UMNO yang mengenali diri sebagai Gerakan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) mengadakan tunjuk perasaan hambar di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat.
Lima puluh orang mendesak supaya Hakim Mohamad Zaibidin Mohd Diah tunduk kepada tuntutan pendakwaraya untuk mengarahkan Anwar memberi sampel DNA berhubung tuduhan liwat terhadapnya.
Mingguan Malaysia turut mendesak Anwar memberikan sampel DNA itu. Sekaligus, akhbar kawalan UMNO itu menyertai PERKASA dan GAPS untuk membuka lembaran baru dalam politik murahan lagi menghinakan.
Tindakan mereka bukan sahaja membelakangkan sistem keadilan yang kononnya mereka mendokong, tetapi lidah pengarang Utusan dan tunjuk perasaan itu jelas bertujuan mempengaruhi hakim perbicaraan.
Anehnya, baik Utusan, PERKASA atau pun GAPS serta blogger- blogger upahan UMNO tidak sekali pun memberi komen, apatah lagi menganjurkan tunjuk perasaan terhadap polis kerana mendapatkan sampel DNA secara haram daripada Anwar.
Tidak pula mereka akur dengan keputusan itu yang dibuat oleh Hakim Mohamad Zabidin minggu lalu.
Tidak pula mereka mendesak supaya tindakan diambil terhadap pegawai- pegawai polis yang mempunyai niat jahat memperolehi tuala, berus gigi dan botol air mineral dari Anwar secara tipu helah.
Berhubung dengan tuntutan pendakwaraya berhubung sampel DNA itu, beberapa persoalan perlu diajukaN kepada Pejabat Peguam Negara :
1. Kenapa perintah mahkamah sedemikian tidak diperolehi sebelum perbicaraan bermula, lalu kenapa sampel DNA itu diperolehi secara “bersembunyi.”
2. Bukankah Hakim Zaibidin membuat keputusan bahawa sampel DNA itu diperolehi secara tipu helah SELEPAS menimbang semua bukti dan hujah pendakwaraya dan peguam bela
3. Adakah lojik secara tiba-tiba pendakwaraya mahu keputusan hakim itu di tarik balik bersandarkan fakta-fakta yang SAMA.
Antara persoalan penting esok ialah sama ada wujud peruntukan undang- undang untuk mahkamah memaksa Anwar menyerahkan sampel DNAnya.
Selepas menjadi mangsa bukti dan keterangan yang direka cipta pada perbicaraannya tahun 1998, Anwar dihumban enam tahun ke penjara, bagi membolehkan Tun Mahathir Mohamad terus memegang tampuk pemerintahan.
Justeru, Anwar tidak boleh dipersalahkan jika beliau AMAT meragui kewibawaan polis dan pihak berkuasa hospital kerajaan.
Seperti perbicaraan pertama, kes kali ini sekali lagi menyaksikan perlakuan pihak polis dan pemeriksaan yang dijalankan oleh pihak hospital serta Jabatan Kimia amat mencurigakan.
Peguam Negara Gani Patil harus menuntut penjelasan daripada Ketua Polis Negara Ismail Omar (atau mantan KPN Musa Hassan) bagaimana seorang pegawai polis kanan yang diperakui oleh SUHAKAM sebagai “berbohong” pada inkues badan itu boleh dipilih untuk mengetuai siasatan terhadap Anwar.
Segala persoalan ini menuntut jawapan, tidak kira sama ada menerusi lidah pengarang Utusan mahupun pengamal- pengamal politik murahan upahan UMNO di PERKASA Adan GAPS.
- tvs