Isnin, 14 Mac 2011

Loji tenaga nuklear Fukushima letup lagi, cetus kebimbangan baru

TOKYO, 14 Mac — Loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi menyaksikan letupan baru hari ini — yang kedua dalam tiga hari — mencetuskan kebimbangan baru di kalangan rakyat Jepun yang masih belum keluar daripada kesan tragedi gempa bumi dan tsunami Jumaat lalu. Bagaimanapun agensi keselamatan nuklear Jepun tidak dapat mengesahkan sama ada letupan hidrogen di reaktor Unit 3 loji itu menyebabkan kebocoran radiasi.

Loji itu ada tiga reaktor.

Laporan Reuters menyebut, agensi berita Kyodo melaporkan sebanyak 2,000 mayat ditemui di dua kawasan pantai di Miyagi.

Angka kematian dijangka akan terus meningkat selepas pihak berkuasa mengesahkan 1,597 orang terbunuh dan 1,481 orang masih hilang di kawasan-kawasan sebelah timur laut dan timur yang dilanda gempa bumi dan tsunami Jumaat lalu.

Sebanyak 1,000 mayat ditemui dibawa ombak ke pantai-pantai di Semenanjung Ojika yang teruk dilanda gempa bumi dan 1,000 lagi dikesan di bandar Minamisanriku di mana kerajaan tempatan tidak dapat berhubung dengan 10,000 orang atau separuh daripada penduduk kawasan itu.

Angka kematian rasmi tidak termasuk 200 hingga 300 mayat yang ditemui di Sendai, ibu kota Miyagi, yang belum boleh diakses oleh polis atau pekerja-pekerja lain.

Kira-kira 450,000 orang telah dipindahkan dari kawasan Miyagi dan lima kawasan setakat semalam.


MP Klang: Putrajaya perlu belajar pengalaman Jepun, gugur idea nuklear

Charles Santiago
KUALA LUMPUR, 14 Mac — Wakil rakyat DAP hari ini menggesa kerajaan agar menggugurkan rancangan untuk membina loji tenaga nuklear dengan mengambil kira nasib yang dialami Jepun selepas dilanda gempa bumi terburuk dan tsunami Jumaat lalu. Loji-loji tenaga nuklear di timur laut Jepun berhadapan dengan masalah kegagalan reaktor berfungsi dan letupan juga disaksikan kelmarin dan hari ini.

Lebih 180,000 dipindahkan dari kawasan lingkungan loji melibatkan 20 kilometer manakala sekitar 160 orang terdedah kepada radiasi.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata,
Malaysia harus menggunakan kebijaksanaan untuk mengelak daripada menggunakan loji tenaga nuklear, sebaliknya menggunakan sumber tenaga lain yang lebih bersih dan selamat.

“Oleh itu, saya menggesa Menteri  Peter Chin agar membatalkan kesemua idea mahu menerokai tenaga nuklear,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Related Posts with Thumbnails