Jumaat, 18 Mac 2011

Radiasi Nuklear Fukushima Capai tahap Bahaya


FUKUSHIMA: Keadaan di negeri yang paling teruk dilanda gempa bumi dan dibadai tsunami, di sini, Jumaat lalu tenang dan langsung tiada kelihatan warga tempatan berada di luar rumah.
Ini berkemungkinan akibat cuaca sejuk iaitu satu darjah Celsius di bawah tahap beku atau mereka memang tidak berada di rumah masing-masing sejak bencana itu.

Rombongan wartawan Media Prima yang baru tiba dari Tokyo untuk membuat liputan bencana berkenaan dikejutkan dengan berita buruk yang menyatakan berlaku kebocoran serius loji nuklear di Dai-ichi iaitu kira-kira 100 kilometer dari tempat semua wartawan menginap iaitu di Inawashiro, sebuah hotel di kawasan peranginan musim sejuk.

Laporan itu mengatakan tahap radiasi 400 peratus daripada kadar biasa dan semua penduduk diingatkan agar tidak keluar dari rumah.

Radiasi itu juga dikatakan sedang bergerak ke bandar raya Tokyo.

Bagaimanapun, laporan televisyen tempatan tidak memaklumkan mengenai kebocoran serius itu. Pegawai Kedutaan Besar Malaysia yang dihubungi juga tidak mendapat maklumat mengenai laporan terbaru itu setakat ini.

Perjalanan mengambil masa kira-kira lapan jam melalui Lebuhraya Tohoku sejauh kira-kira 330 kilometer itu agak lengang kerana lebuh raya itu hanya boleh dilalui kenderaan yang sudah mendapat kebenaran bertulis dari Polis Metropolitan Tokyo.

Jika tidak, perlu mengambil jalan lama yang mungkin mengambil masa lebih 20 jam berikutan kesesakan lalu lintas.

Lebuh raya juga ditutup untuk kenderaan awam dan hanya boleh dilalui kenderaan pasukan mencari dan menyelamat, lori menghantar bantuan makanan dan pekerja kontraktor yang dihantar ke kawasan bencana.

Malah, dimaklumkan sejak bencana berlaku, bekalan makanan juga semakin berkurangan dan rak menjual makanan di pasar raya dan kedai serbaneka di kawasan ini dibiarkan kosong manakala tiada restoran dibuka.

Dimaklumkan, bekalan akan pulih dalam tempoh beberapa hari lagi.

Tinjauan di kawasan ini juga mendapati kerja-kerja membaiki kerosakan akibat gempa sedang dijalankan terutama membabitkan kemudahan awal seperti jalan raya.

Berikutan keadaan pembebasan bahan radioaktif semakin buruk, mungkin esok (hari ini), kami perlu segera meninggalkan bandar ini untuk ke Tokyo sebelum pulang ke tanah air secepat mungkin.

Segala usaha kini sedang dibuat untuk membolehkan semua kami keluar segera.
Mymetro
Related Posts with Thumbnails