Rabu, 16 Mac 2011

Krisis Nuklear Kini Bermula, Tahap Radiasi Pencemaran Meningkat


11 Rabiulakhir 1432H. [MOD] -

TOKYO - Dunia dijangka bakal menyaksikan krisis nuklear terburuk dalam tempoh puluhan tahun apabila sebuah lagi loji nuklear di Jepun meletup, pagi semalam.

Insiden terbaru itu meningkatkan lagi kemungkinan tragedi lebih buruk berlaku di negara maju itu selepas dua letupan berlaku di loji nuklear sejurus Jepun dilanda gempa bumi kuat yang mencetuskan tsunami, Jumaat lalu.

Perdana Menteri Jepun, Naoto Kan dalam ucapan di televisyen berkata, radiasi telah merebak daripada empat reaktor nuklear di Fukushima, iaitu wilayah paling teruk terjejas selepas dilanda gempa sekuat 9.0 pada skala Richter.

"Tahap radiasi di udara adalah tinggi dan terdapat risiko berlakunya lebih banyak kebocoran radiasi," katanya, semalam.

Krisis nuklear terbaru itu adalah yang terburuk pernah dialami Jepun sejak bom atom digugurkan Amerika Syarikat (AS) di bandar Hiroshima dan Nagasaki semasa Perang Dunia Kedua, 65 tahun lalu.

Kan turut mengarahkan penduduk yang tinggal dalam lingkungan jarak 30 kilometer dari loji itu supaya berlindung di dalam rumah bagi mengelakkan pencemaran radiasi.

Selain letupan ketiga, reaktor nuklear keempat di loji sama sedang terbakar dan turut membebaskan lebih banyak sinaran radiasi, menurut Ketua Setiausaha Kabinet, Yukio Edano.

"Tahap radiasi di udara berhampiran loji itu sudah mencecah tahap yang boleh membahayakan kesihatan manusia. Kami nasihatkan semua penduduk supaya tidak keluar dari rumah," katanya.

Tahap radiasi berhampiran salah sebuah reaktor itu dilaporkan empat kali ganda lebih tinggi berbanding tahap selamat.

Seramai 50 pekerja di loji itu sedang berusaha mengalirkan air ke dalam reaktor tersebut sebagai proses penyejukan.

Jumlah korban akibat gempa dan tsunami minggu lalu disahkan mencecah 2,400 sehingga semalam dan 10,000 lagi dikhuatiri terkorban selepas sebuah bandar ditenggelami air.

Sementara itu, Jabatan Geologi AS menaik taraf kekuatan gempa bumi itu daripada 8.9 kepada 9.0 pada skala Richter, bermakna gempa tersebut adalah 1.5 kali ganda lebih kuat daripada jangkaan awal.

Sinar Harian/-
Related Posts with Thumbnails