Selasa, 21 Disember 2010

Tan Sri Muhyiddin Beri Lampu Hijau JPPM Kurangkan Majoriti Undi Pembangkang















SHAH ALAM 21 Dis.: Seruan Timbalan Perdana Menteri (TPM), Tan Sri Muhyiddin Yassin menggalakkan lebih banyak pertubuhan mendaftar sebagai parti politik di negara ini menjelang pilihanraya umum tidak lama lagi menjadi tanda tanya.

Justeru menggambarkan bahawa Umno-Barisan Nasional mempunyai agenda tersembunyi bagi mengurangkan majoriti Pakatan Rakyat yang dijangka memberi saingan hebat kepada parti itu pada Pilihanraya Umum Ke-13 nanti.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa, Profesor Dr Abdul Aziz Bari yang dihubungi TV Selangor menjelaskan, penubuhkan persatuan adalah hak asasi dalam sistem demokrasi negara seperti yang termaktub dalam Perkara 10, Perlembagaan Persekutuan.

Malah Aziz menganggap gesaan Muhyiddin itu sebagai pendekatan menarik.

Namun menurut beliau, tindakan tersebut seolah-olah memberi lampu hijau kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) untuk mempermudahkan proses pendaftaran parti politik baru walaupun sejarah membuktikan sebaliknya.

"Daripada segi perlembagaan, itu memang hak asasi semua orang. Perkara 10, menubuhkan persatuan selain daripada kebebasan bersuara dan berhimpun ini adalah satu hak asas dalam demokrasi.

"Dari segi politik kita tidak tahu, tapi apa maksud TPM buat kenyataan itu, sebab benda itu di bawah kuasa pendaftar pertubuhan, mahu cepat atau lambat. Yang kita bimbang, bila dia (TPM) cakap begitu, seolah-olah memberikan lampu hijau kepada pendaftar yang kita tahu sekadar kakitangan awam makan gaji untuk mempercepatkan pendaftaran," ujar beliau.

Menyifatkan sebagai "lebih ramai, lebih meriah", Muhyiddin menjelaskan pilihan rakyat akan bertambah sekiranya lebih banyak parti politik dalam negara namun menolak ianya mampu memberi cabaran kepada Barisan Nasional.

Ini berikutan katanya, parti politik baru tiada polisi dan ideologi yang jelas selain pemimpin yang tidak mempunyai visi untuh untuk negara.

Profesor Dr Aziz menambah, masyarakat kini lebih pandai menilai politik murahan justeru galakan secara tiba-tiba oleh Muhyiddin akan dipantau lebih teliti oleh rakyat.

Beliau turut mengambil perumpamaan penubuhan parti politik di negara Indonesia yang tumbuh seperti cendawan selepas kejatuhan Presiden Suharto namun tidak kekal lama.

"Kita tidak ada masalah oleh kerana menubuhkan persatuan parti politik adalah hak asasi yang tidak sepatutnya disekat. Tetapi secara tiba-tiba digalakkan seperti itu apa maksudnya? Cuma kita berasa bahawa rakyat ini cerdik. Mereka tidak termakan dengan pelbagai persatuan atau parti politik," jelas beliau lagi.

Baru-baru ini, Zaid Ibrahim dilantik menjadi Presiden Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) yang sebelum ini dikenali sebagai Angkatan Keadilan Islam Malaysia (AKIM) selain Pergerakan Kebebasan Awam Malaysia (MCLM) yang turut diperkenalkan.

Related Posts with Thumbnails