Rabu, 22 Disember 2010

PAKATAN RAKYAT PERAK BANTAH KENAIKAN HARGA SUSU


Hafizi Pauzi

PARIT BUNTAR, 21 Dis :- Bercakap tentang tekanan berterusan dengan kenaikan harga barang terhadap rakyat, nampaknya hingga sekarang masih belum bertemu noktah bila baru-baru ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi respon kepada media bahawa kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menyekat kenaikan harga susu di negara ini rentetan harganya meningkat di pasaran dunia.

Demikianlah menurut apa yang dinyatakan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bahawa harga penjualan susu termasuk produk tenusu tempatan dijangka meningkat tidak lama lagi (sekarang telah dinaikkan) disebabkan kenaikan harga bahan mentah di pasaran dunia.

“Nampaknya masih ramai rakyat yang tidak sedar dan tahu bahawa mereka (rakyat) diasak oleh kerajaan BN dari segi harga barang dan keperluan asas yang lain berikutan kenaikan bertubi-tubi dalam masa terdekat ini,” kata Ketua Penerangan PAS Perak, Drs. Khalil Idham Lim ketika ditemui di sini.

Menurutnya lagi, harga minyak yang menerima kenaikan sebanyak 4 kali dalam tahun 2010sahaja sudah cukup membebankan rakyat, dan kini asakan tersebut sekali lagi diteruskan dengan peningkatan harga susu pula.

Rakyat Malaysia telah diberi “pendidikan” sebaiknya oleh BN supaya menghukum BN dalam PRU akan datang, katanya yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak.

Tambahnya, helah BN terhadap rakyat berikutan kenaikan harga susu dengan menyatakan bahawa mereka tiada kuasa untuk menghalang kenaikan harga bahan mentah tersebut, semua ini merupakan alasan untuk menutup isu sebenar, iaitu BN hilang kredibiliti memerintah negara.

Dalam pada itu, beliau yang juga ADUN Titi Serong menyebut bahawa Negara pernah menyaksikan susu mentah keluaran tempatan pernah terpaksa dibuang dalam kuantiti yang begitu besar berikutan stok bahan mentah yang terlebih satu ketika dahulu.

Jika stok tersebut dikendali dengan baik oleh kerajaan, saya percaya, Negara dengan mudah dapat mengatasi kenaikan produk tenusu ini, dan sekarang terbukti BN memang sudah hilang upaya memerintah Negara.

Rakyat sepatutnya melihat isu ini dari perspektif kemampuan jangka masa pendek dan jangka masa panjang BN yang sudah tidak kemampuan mentadbir Negara ke arah memacu ekonomi serta kemampuan aspek pengurusan sumber negara.

“Pakatan Rakyat telah bersedia ke arah itu dengan gelombang Malaysia baru yang lebih menjamin kebajikan rakyat secara holistik, sudah sampai masa kerajaan BN di hukum, dan saya menyeru rakyat memberi undi dan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat (PKR,DAP, PAS) pada PRU 13 nanti, sesuai dengan slogan kami "ubah sekarang, selamatkan Malaysia"” tegasnya.
Related Posts with Thumbnails