Isnin, 20 Disember 2010

Negara Islam: Karpal tutup mulut Umno

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR: Penegasan Karpal Singh bahawa DAP menerima Islam sebagai agama rasmi Malaysia dan sedia berbincang dengan PAS berhubung isu negara Islam, dilihat membuka satu episod baru, muafakat dalam Pakatan Rakyat.

Sebelum ini, biarpun duduk sebumbung dibawah payung Pakatan Rakyat, isu negara Islam antara yang dilihat masih menjadi tembok pemisah antara PAS-DAP.

Bagi Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, pendirian terbaru Karpal itu ujarnya adalah satu kejayaan baru Pakatan Rakyat sekaligus meletakkan keakraban ketiga-tiga parti PAS, PKR dan DAP kini pada tahap terbaik.

Ketika dihubungi Harakahdaily hari ini, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata, PAS mengalu-alukan keterbukaan DAP itu dan melihat ianya satu perkembangan sangat positif dalam Pakatan Rakyat.

"Kita sangat alu-alukan kenyataan positif sebegini. Kesediaan untuk berbincang isu negara Islam ini adalah satu anjakan pemikiran besar oleh tokoh DAP itu," katanya.

Penegasan terbaru DAP itu juga katanya memperlihatkan komitmen sebenar Pakatan Rakyat untuk mempertahankan Islam dan apa sahaja yang terkandung dalam Perlembagaan negara.

Ianya juga sekaligus menolak dakwaan bahawa Pakatan Rakyat akan menjual Islam dan Melayu jika menguasai pemerintahan negara.

Beliau juga yakin, kenyataan Karpal itu akan menutup mulut Umno BN dari terus memanipulasi isu yang sejak dahulu membelengu PAS dan DAP itu, khususnya berdepan Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang.

"Dalam isu negara Islam ini, kita sebenarnya dikelirukan oleh permainan musuh-musuh kita.

"Namun keterbukaan Karpal menerima Islam sebagai agama rasmi, memperlihatkan satu komitmen bersungguh-sungguh DAP mempertahan Islam dan perlembagaan negara," katanya lagi.

Karpal yang juga Pengerusi kebangsaan DAP, sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan pada Konvensyen kedua Pakatan Rakyat di Kepala Batas semalam berkata, beliau mahu isu negara Islam segera dibincang oleh Pakatan Rakyat kerana beliau tidak mahu BN mengeksploitasi isu tersebut dalam pilihan raya umum akan datang.

DAP katanya boleh membincangkan isu tersebut dengan ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, mursyidul am PAS yang juga menteri besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat serta presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Karpal juga meletakkan keyakinan, isu tersebut boleh mencapai konsensus sekira satu perbincangan bersama diadakan.

Sehubungan itu, Tuan Ibrahim memaklumkan satu pertemuan antara pemimpin ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat itu akan dibuat secepat mungkin bagi merealisasikan hasrat itu.

Related Posts with Thumbnails