Apabila rancangan nuklear Najib (gambar kiri) mula-mula dicadang pada Oktober 2008, Kerajaan Negeri Selangor di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat menyuarakan bantahan terhadap tenaga nuklear di negeri ini. Kami ingin menyatakan pendirian kami sekali lagi. Tiada rakyat Malaysia yang perlu didedahkan kepada bahaya sebegini. Bukan sahaja di Selangor, tetapi seluruh Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Kami mendesak negara Malaysia kekal sebagai Zon Bebas Nuklear.
Barisan Nasional tidak boleh diharap untuk mengurus dengan selamat teknologi sebahaya ini. Sejarah kejadian seperti keruntuhan stadium, empangan bermasalah dan projek-projek kroni yang melampu tinggi kosnya jelas menunjukkan bahawa projek nuklear ini akan membawa akibat teruk.
Lebih-lebih lagi, Najib kurang jujur kepada rakyat mengenai rancangan nuklear ini.
Beliau telah berjanji dalam blog beliau pada awal tahun ini, bahawa satu kajian menyeluruh akan dijalankan sebelum projek nuklear ini diteruskan. Teknologi-teknologi hijau seperti tenaga angin, suria dan biomass sepatutnya dikaji bersama.
Di manakah kajian tersebut? Lebih membimbangkan lagi, kini projek nuklear Najib ini digandakan menjadi dua stesen penjanakuasa nuclear setelah dimasukkan ke dalam Rancangan Transformasi Ekonomi (ETP) beliau.
Apakah alasan untuk keputusan ini? Siapakah yang akan untung? Rakyat berhak mendapat jawapan.
Malangnya, Menteri Tenaga Peter Chin hanya mengumumkan lebih kempen perhubungan awam untuk memperdayakan rakyat. Ini bukan pentadbiran yang bertanggungjawab dan telus.
Pentadbiran Najib tidak ada rancangan jangka panjang yang selamat untuk membuang sisa-sisa nuklear yang toksik. Sebenarnya, tiada negara di dunia yang ada penyelesaian kepada masalah ini. Negeri manakah di Malaysia yang akan dijadikan tapak pembuangan sisa-sisa nuklear? Kerajaan Negeri Selangor akan berjuang untuk melindungi negeri dan rakyat kami dari sisa-sisa nuklear.
Isu-isu keselamatan negara dan kedamaian antarabangsa juga perlu dipertimbangkan. Perlindungan stesen-stesen penjanakuasa nuklear ini dari unsur-unsur pengganas tidak pernah dibangunkan oleh pihak Barisan Nasional. Bolehkah kita menghalang bahan nuklear dari dicuri dan dijual apabila enjin kapal terbang kita pernah dicuri sebelum dijumpai di Uruguay?
Negara Malaysia bakal menjadi pengeluar panel solar ketiga besar di dunia. Rang Undang-Undang Tenaga Boleh Bahru telah dibaca di Parlimen baru-baru ini. Macam manakah projek yang berisiko tinggi ini dipertimbangkan sedangkan kita mempunyai pilihan yang lain?
Menyelesaikan masalah tenaga Malaysia bukan sekadar membina stesen penjanakuasa. Ini hanya menguntungkan pemilik stesen-stesen tersebut. Pengurusan tenaga secara bertanggungjawab memerlukan penggunaan tenaga dengan lebih cekap, mengurangkan subsidi melampau yang diberi kepada penjana tenaga bebas (IPP), dan memastikan sambungan kepada masyarakat-masyarakat luar bandar yang terpinggir, khususnya Orang Asli dan Sabah dan Sarawak. Penggunaan sumber tenaga yang hijau juga penting untuk mengurangkan kesan perubahan iklim.
Kerajaan yang bertanggungjawab sepatutnya:
* Membuat kajian menyeluruh bagi menyelesaikan masalah tenaga Malaysia secara menyeluruh, melibatkan kesemua pihak yang terlibat, bukan sahaja Tenaga Nasional dan penyokong nuklear;
* Menerbitkan keputusan kajian tersebut untuk semua;
* Mengadakan perbincangan bersama rakyat, badan-badan bukan kerajaan, kerajaan-kerajaan negeri, agensi-agensi kerajaan, wakil rakyat dan pihak berkuasa tempatan;
* Membuat keputusan yang telus setelah menimbang baik-buruk. Malangnya, keputusan meneruskan projek nuklear ini dibuat secara tertutup, dan janji kosong kajian menyeluruh tidak ditunaikan.
Keputusan untuk bergantung pada tenaga nuklear amat tidak bertanggungjawab dan membazirkan, sedangkan tiada usaha untuk membetulkan kelemahan sektor tenaga elektrik di Malaysia. Jika Barisan Nasional tidak dapat menyelesaikan masalah Malaysia secara bertanggungjawab, rakyat perlu menolak mereka melalui peti undi.
Kami menyeru Najib supaya:
* Menerbitkan kajian menyeluruh yang kononnya dijalankan, ataupun memberi penjelasan mengapa kajian tidak pernah dibuat;
* Menjelaskan di mana sumber RM21.3 billion untuk dua stesen penjanakuasa nuklear ini.
**Kenyataan media daripada Sekretariat Akhbar Kerajaan Negeri Selangor.