Dzulfikar Mashoor
KUALA LUMPUR, Keputusan digantung enam bulan yang dikenakan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiga wakil rakyat Pakatan Rakyat lain menunjukkan sistem demokrasi Malaysia “sudah simpang-siur”, kata pakar perundangan Prof A. Aziz Bari.
“Penggantungan ini menunjukkan sistem demokrasi kita sudah simpang-siur, sekejap boleh (gantung) dan sekejap tidak.
“Sekarang Speaker (Tan Sri Pandikar Amin Mulia) pula bakal dibawa ke mahkamah apabila semangat demokrasi di Dewan Rakyat serta dahulu di DUN Perak tidak dihormati dan dilanggar oleh wakil rakyat yang tidak faham undang-undang,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.
Sehubungan itu, soal Aziz (gambar), memandangkan Anwar bersedia mendedahkan mengenai bukti-bukti dakwaannya sebelum ini mengapa Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen tidak membenarnya membuat penjelasan.
“Mengapa terus digantung selama enam bulan sedangkan tindakkan itu tidak memberi kebaikan kepada sebuah Dewan yang mementingkan demokrasi,” kata beliau.
Oleh itu katanya lagi, adakah Umno hendak menggunakan Parlimen untuk melarikan diri daripada isu APCO dan konsep 1 Malaysia, yang kebanyakan orang awam mengaitkannya dengan slogan One Israel kerana itulah anggapan yang terus cuba dinafikan di Dewan Rakyat.
Malah menurut Aziz, walaupun ada ketetapan untuk seseorang Speaker Dewan Rakyat menggunakan peruntukan Peraturan Mesyuarat 44, tetapi Ketua Pembangkang di Parlimen tarafnya harus dilihat seperti “ketua kerajaan”, yang bertindak sebagai semak dan imbang serta melaksanakan prinsip demokrasi.
“Apakah semangat ini mahu dibunuh dalam Dewan Rakyat juga,” katanya.
“Persoalannya sekarang, mengapa di Dewan Rakyat hari ini, seseorang wakil rakyat boleh terus digantung oleh seorang Speaker sedangkan di Perak sebelum ini tidak boleh.
“Tetapi dibawa ke mahkamah walaupun tidak harus sebenarnya satu-satu urusan di DUN atau Dewan Rakyat diputuskan semula di mahkamah,” katanya lagi.
Semalam, sejurus selepas mereka dikenakan hukuman digantung dari Parlimen, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nazri Aziz berkata, cadangan tindakan mahkamah oleh pakatan pembangkang terhadap Yang di-Pertua Dewan Rakyat tidak akan berjaya.
Nazri, menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Parlimen, yakin sekiranya perkara itu dibawa ke mahkamah ia akan ditolak oleh mahkamah kerana Parlimen mempunyai “kekuasaan” yang tersendiri.
“Saya beri jaminan, jika mereka membawa perkara ini ke mahkamah, ia akan ditolak. Karpal belajar undang-undang apa? Peguam kelas ketiga.
“Apa yang kami putuskan kekal, anda perlu belajar undang-undang perlembagaan mengenai kekuasaan Parlimen,” katanya.
Karpal yang juga peguam terkenal memberitahu cadangan pihaknya untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap Pandikar Amin berhubung perkara itu.
Selain Anwar, turut digantung enam bulan ialah tiga lagi anggota Parlimen pembangkang iaitu Karpal, R. Sivarasa (PKR-Subang) dan Azmin Ali (PKR-Gombak) kerana menghina dewan.
Nazri berkata gaji serta elaun empat anggota Parlimen yang digantung itu masih berjalan dan tidak akan dihentikan.
“Gaji dia tetap ada. Keempat-empat MP masih mendapat elaun mereka kerana kami mengikut perintah mahkamah selepas (Anggota Parlimen Puchong) Gobind (Singh Deo) membawa perkara itu ke mahkamah.
“Memandangkan keputusan mahkamah ia tidak mengikut perlembagaan kita ikut. Sebenarnya pakatan pembangkanglah yang tidak mengikut perintah mahkamah,” katanya.
Nazri berkata Barisan Nasional hanya mempunyai 137 kerusi di Dewan Rakyat dan tidak cukup untuk meminda sesuatu perlembagaan.
“Pada sebarang masa untuk meminda perlembagaan, kamu mesti mempunyai 148 anggota Parlimen bagi menyokong di dalam dewan. Jika tidak, ia tidak boleh dipinda,” katanya.