Khamis, 16 Disember 2010

Adun Tenang Bikin Umno Tak Tenang


TMI | Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tenang Datuk Sulaiman Taha (berbaju biru, tengah), dirawat di ibu negara hampir sebulan lalu tetapi stabil, kata pembantunya, sekali gus menolak spekulasi akan diadakan satu lagi pilihan raya kecil.

Pembantu peribadi Sulaiman, Razak Rashid berkata, wakil rakyat Umno itu dimasukkan ke hospital sehari selepas sambutan Hari Keputeraan Sultan Johor.

“Keadaan beliau (Sulaiman) bertambah baik tapi beliau masih bergantung pada alat bantuan pernafasan,” kata Razak kepada The Malaysian Insider ketika dihubungi.

Razak berkata Adun selama dua penggal itu turut menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi tetapi dimasukkan ke hospital kerana tidak sihat.

Ketua Umno Labis itu berada di Hospital Segamat selama dua hari sebelum dipindahkan ke sebuah hospital swasta di sini.

“Saya dimaklumkan oleh ahli keluarga datuk dan keadaan beliau sekarang stabil,” kata Razak.

Beliau turut memberi jaminan pejabat khidmat masyarakat Adun Tenang akan terus beroperasi walaupun tanpa Sulaiman.

“Saya ada di Labis, kami buat kerja seperti biasa, mengadakan mesyuarat kecuali mana-mana perkara yang memerlukan kehadiran wakil rakyat,” kata Razak.

Isteri Sulaiman Datin Noraini Yaakop juga mengesahkan wakil rakyat itu berada dalam keadaan stabil dan doktor menasihatkan Sulaiman supaya berehat.

Beliau dipindahkan ke Hospital Pakar Ampag Puteri di sini selepas mengalami jangkitan kuman paru-paru.

“Doktor arahkan supaya Datuk (Sulaiman) berehat sahaja sekarang ini. Datuk sekarang dalam keadaan stabil, tapi beliau masih lagi lemah.

“Pada 24 November Datuk masuk (hospital) kerana jangkitan kuman pada paru-paru tapi yang itu dah OK.

“Tapi sekarang Datuk kena jangkitan kuman dalam darah pula, doktor cakap mungkin datang (dijangkiti) daripada pelawat yang melawat beliau,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insider petang ini.

Tambah Noraini, doktor juga tidak membenarkan sesiapa termasuk dirinya berjumpa dengan Sulaiman kerana bimbang keadaan akan menjadi lebih teruk.

“Sekarang doktor tak benarkan pelawat datang jumpa datuk, saya sendiri pun tak boleh jumpa.

“Doktor sekarang sedang pantau keadaan datuk, sekarang dah stabil. Datuk sekarang berehat saja dalam wad,” katanya.

Sulaiman mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada pilihan raya umum 2008 dengan menewaskan calon PAS Mohd Saim Siran, majoriti 2,492 undi.

DUN Tenang (berwarna kuning) berada dalam Parlimen Labis, yang menjadi kubu kuat Presiden MCA Datuk Dr Chua Soi Lek dan kini disandang oleh anaknya Chua Tee Yong.

Satu lagi DUN yang berada dalam Parlimen Labis adalah Bekok yang turut dimenangi Barisan Nasional.

Sulaiman tidak menghadiri sidang DUN bulan lalu, yang membahaskan bajet 2011 sehingga timbul khabar angin akan diadakan satu lagi pilihan raya kecil.

Sejak pilihan raya umum 2008, 13 pilihan raya kecil telah diadakan dengan 10 daripadanya diadakan kerana kematian wakil rakyat.

Difahamkan PAS Johor telah membuat persiapan jika pilihan raya kecil diadakan.

BN memenangi 50 kerusi DUN sementara DAP empat kerusi dan PAS dua kerusi.
Related Posts with Thumbnails