Jumaat, 17 Disember 2010

Keputusan Dewan Rakyat boleh dicabar di mahkamah



Pakatan Rakyat mengulangi tekad untuk mengheret Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ke mahkamah berhubung penggantungan empat Ahli Parlimen Pakatan termasuk dirinya, kata Ahli Parlimen Bukit Gelugor yang juga Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh.

Menurut beliau, mereka akan mengemukakan saman dalam masa terdekat dan menolak kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz bahawa keputusan di Dewan Rakyat tidak boleh dicabar di mahkamah.

“Dalam kes Gobind Singh Deo (Ahli Parlimen Puchong), kita telah heret Speaker ke mahkamah, dan kita menang.

“Dalam kes krisis perlembagaan Perak, ia menujukkan bahawa sidang dewan undangan negeri boleh katanya yang merujuk hukuman gantung enam bulan tanpa gaji di mana mahkamah memutuskan penahanan gaji Ahli Parlimen itu tidak sah dipersoalkan,” katanya merujuk hukuman gantung enam bulan tanpa gaji di mana mahkamah memutuskan penahanan gaji Ahli Parlimen itu sebagai tidak sah.

“Perkara ini akan dibawa ke mahkamah secepat mungkin dan kami serius,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat KEADILAN hari ini.

“Dalam negara kita, Parlimen bukan yang paling tinggi, Perlembagaan yang paling tinggi. Keputusan yang dibuat Parlimen mesti berdasarkan Perlembagaan.

“Ketika saya digantung pada 1994 kerana menghina Yang di-Pertuan Agong, ayat yang digunakan sangat jelas, digantung daripada perkhidmatan di dalam Dewan,” kata Karpal.

Semalam, Mohd Nazri pada sidang medianya melabelkan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat sebagai ‘bodoh dan gila’ kerana mengugut untuk mengheret Speaker ke mahkamah.

Katanya, mahkamah tidak boleh mencampuri urusan atau prosiding Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Karpal yang juga peguam membidas kenyataan tersebut.

“Nazri panggil saya peguam kelas ketiga. Saya mungkin kelas ketiga, tetapi dia tidak ada kelas,” katanya sambil disambut gelak ketawa oleh Ahli-ahli Parlimen Pakatan dan media yang turut hadir.

Tambah Karpal, akibat penggantungan itu, BN masih tidak mempunyai majoriti dua pertiga iaitu syarat yang diperlukan sebelum perlembagaan boleh dipinda termasuk untuk persempadanan semula kawasan pilihan raya.

“Mengikut peraturan dewan, majoriti dua pertiga bermakna dua pertiga daripada semua 222 Ahli Parlimen dan bukannya mereka yang tidak mengundi pada masa itu.

“Angka itu tetap tidak berubah melainkan mereka memberi tafsiran sendiri mengenai peraturan itu,” katanya.
Related Posts with Thumbnails