Khamis, 8 Julai 2010

Parti Seks Uitm: 2 Mengaku Bersalah


SHAH ALAM 7 Julai - Dua daripada 39 individu yang didakwa berkhalwat sehingga menimbulkan syak di dua buah bilik hotel pada November tahun lalu, hari ini menukar pengakuan kepada bersalah di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Ini menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 12 orang mengaku bersalah bagi kesalahan tersebut.

Hakim Syarie, Saharuddin Selamat memerintahkan Muhamad Uzair Bharudin membayar denda RM2,500 manakala Muhamad Khairil Izwan Mohamad Jamil pula didenda RM2,000.

Beliau turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara masing-masing 60 hari dan 30 hari sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Muhamad Uzair dan Muhamad Khairil Izwan bagaimanapun menjelaskan denda itu.

Pada prosiding hari ini, Saharuddin turut memerintahkan salah seorang tertuduh, Noor Maria Mohammad Jamil didenda RM200 kerana gagal hadir pada prosiding yang lalu tanpa alasan.

Mengikut pertuduhan, 39 tertuduh yang sebahagian besarnya merupakan pelajar yang berusia antara 17 dan 30 tahun didakwa berkhalwat di bilik hotel Blok 4, Intekma Resort & Convention Centre, Persiaran Raja Muda, Seksyen 7 di sini pada pukul 2.10 pagi, 15 November 2009.

Mereka didakwa berada bersama-sama dengan bukan muhrim sehingga boleh menimbulkan syak sedang melakukan perbuatan tidak bermoral.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) dan Seksyen 29(1)((b) Enakmen Jenayah Syariah Selangor yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Sebanyak 27 lagi individu yang masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah termasuk tujuh wanita akan dibicarakan pada 6 Oktober ini.

Terdahulu, Muhamad Uzair dan Muhamad Khairil Izwan masing-masing merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana telah insaf dan menyesal perbuatan tersebut selain mengaku bersalah sebelum perbicaraan bermula.

Sementara pegawai pendakwa dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Hasrul Hafisi Ahmad Kamal memohon agar kedua-dua tertuduh dikenakan hukuman berat atas perbuatan mereka yang mencemarkan kesucian agama Islam.

Mengikut laporan akhbar sebelum ini, kesemua tertuduh ditahan ketika sedang berpesta di bilik hotel dengan sebahagian daripada mereka sedang asyik mendengar muzik manakala beberapa rakan mereka sedang khayal akibat mengambil dadah di bilik bersebelahan.
Related Posts with Thumbnails