Isnin, 5 Julai 2010

Hishammuddin: Komponen BN harus sedia hadapi PRU-13

BANGI, 4 Julai – Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata hari ini masa telah tiba bagi Barisan Nasional (BN), khususnya Umno, membuktikan bahawa kelemahan dan kesilapan mereka yang wujud sebelum ini telah berjaya diatasi.

Oleh itu, BN dan semua parti komponennya kini perlu bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum ke-13 tanpa dolak-dalik lagi, kata beliau.

Menurut beliau, alasan-alasan klise dan remeh yang sering diguna pakai sebelum ini tidak boleh lagi digunakan sebagai faktor penyokong untuk 'lari' dari bertanding dalam pilihan raya.

Katanya, pindaan terhadap perlembagaan (parti) dan transformasi menyeluruh dalam Umno adalah langkah drastik yang diambil untuk kembali memperkasakan parti, sekaligus membolehkan Umno muncul sebagai parti komponen BN pertama yang berani bertindak sedemikian rupa.

“Kita tidak ada pilihan. Kita kena siap sedia, sampai bila kita nak beri alasan kita tak bersedia? Sampai bila kita nak katakan bahawa kita belum mampu berdepan dengan pilihan raya umum? Sampai bila kita nak katakan bahawa kita masih lagi dibelenggu dengan masalah-masalah yang terpaksa kita hadapi masa pemulihan dulu?

“Tak boleh lagi dah. Masa dah sampai untuk kita bangkit, masa dah sampai untuk kita tunjukkan pada orang ramai bahawa Umno dah insaf, sedar, dah muhasabah diri, dah buat perancangan dan akan lakukan transformasi,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Serdang di sini.

Menteri Dalam Negeri itu menyatakan demikian ketika merujuk kepada kenyataan seorang lagi Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang akan mengusulkan supaya Badan Perhubungan Umno Negeri di lima buah negeri kembali diterajui oleh kepimpinan parti negeri terbabit.

Ini kerana, menurut Ahmad Zahid, keadaan Umno di negeri-negeri berkenaan iaitu Selangor, Terengganu, Pulau Pinang, Kedah, dan Wilayah Persekutuan telah kembali mantap dan pulih.
“Memang kepimpinan di semua peringkat negeri mesti diteliti dengan sebaik mungkin kerana yang kita nak pastikan ialah kemenangan calon kita dan parti di setiap negeri,” katanya.

Ditanya apakah beliau telah bersedia untuk melepaskan jawatan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Terengganu kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, Hishammuddin berkata, aspek itu akhirnya akan ditentukan oleh ahli-ahli parti.

Menjawab soalan mengenai pemulihan ke atas negeri-negeri yang BN tewas, beliau berkata aspek tersebut mencakupi tiga pelan utama iaitu pelaksanaan (program) parti dalam konteks dan agenda kerajaan, transformasi parti serta pencapaian wakil rakyat dan calon yang ingin diketengahkan.

~Bernama
Related Posts with Thumbnails