Sabtu, 10 Julai 2010

Tiga model kereta peringatan Proton dilancar



NAJIB berdiri di samping kereta hibrid Proton Emas bersama Mahathir (dua dari kiri), Nadzmi (kiri)
dan Syed Zainal Abidin pada majlis makan malam gala sambutan ulang tahun ke-25 Proton di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan tiga model kereta peringatan sempena ulang tahun Proton yang ke-25 di sini semalam.

Ketiga-tiga model yang terdiri daripada Saga, Persona dan Exora dengan hanya 25 unit bagi setiap model akan disediakan.

Kereta berkenaan akan diperkasakan dengan tema harimau dan disertakan dengan reka bentuk rim aloi yang unik, melambangkan jalur harimau, tempat duduk kulit Napa serta logo ulang tahun ke-25 ditekap pada penyandar kepala.

Edisi ulang tahun itu ditetapkan berharga RM54,500 (Saga), RM69,500 (Persona) dan RM91,998 (Exora) di atas jalan, yang berserta insurans.

Perdana Menteri turut memperkenalkan buat kali pertama kereta model hibrid, Eco Mobility Advanced Solutions (Emas) yang dilancarkan di Geneva baru-baru ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Najib mencadangkan syarikat-syarikat automotif dalam negara mempertimbangkan penggabungan sekiranya berlaku terlebih kapasiti dalam industri itu bagi terus berdaya maju dan selari dengan peredaran semasa.

Katanya, hanya syarikat yang berinovatif dan sanggup melakukan perubahan serta mempunyai model perniagaan mampan sahaja akan benar-benar berjaya dalam abad ke-21 ini.

"Kalau sekiranya terlebih kapasiti merupakan satu daripada hambatan atau kekangan kepada syarikat-syarikat, apakah patut dilakukan proses untuk menggabungkan syarikat-syarikat automotif dalam negara kita supaya akan wujud syarikat yang lebih kuat, lebih besar dan lebih mampu lagi?," katanya semasa berucap sempena makan malam gala sambutan ulang tahun ke-25 Proton di sini malam tadi.

Turut hadir pada majlis sambutan itu ialah Penasihat Proton Tun Dr. Mahathir Mohamad; Pengerusi Proton, Datuk Nadzmi Salleh dan Pengarah Urusan Kumpulan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.

~Kosmo

Related Posts with Thumbnails