Jumaat, 9 Julai 2010

Motivasi anjuran ESQ Leadership Centre Sdn Bhd

KUALA LUMPUR, 9 Julai — Syarikat program motivasi ESQ Leadership Center hari ini secara terbuka mempertahankan kursus anjuran mereka sambil berkata, ia tidak pernah menyimpang daripada akidah Islam dan dakwaan pihak tetrentu adalah “satu fitnah semata-mata.”


Pengurus Besar ESQ Marhaini Yusoff berkata, dakwaan tersebut tidak benar kerana modul program pihaknya menjadikan al-Quran dan Sunah sebagai bahan rujukan utama.


“Dakwaan tersebut adalah fitnah dan memang menafikan dakwaan tersebut kerana program ini hanya untuk memupuk asas kepimpinan ahli dengan menjadikan al-Quran dan Sunah sebagai rujukan.
“Selain itu, kita dapati program ini telah menerima respons positif daripada ahli malah mufti juga,” katanya.


Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh yang mengeluarkan fatwa pada 10 Jun lepas bahawa ajaran, pegangan dan fahaman yang dibawa oleh syarikat berkenaan dan apa-apa ajaran yang seumpama dengannya adalah menyeleweng daripada ajaran Islam kerana mengandungi ajaran-ajaran yang boleh merosakkan akidah dan syariah Islam.


Syarikat berkenaan mengendalikan latihan modal insan, dengan menggunakan kaedah yang melibatkan intelektual, emosional dan spiritual.


Setelah 10 tahun beroperasi, sejak 16 Mei 2000, sehingga kini jumlah alumni ESQ telah mencapai lebih 850,000 termasuk di Malaysia.

.....................................................................................

Mufti Perak: ESQ tidak canggah ajaran Islam


IPOH, 9 Julai — Program motivasi anjuran ESQ Leadership Centre Sdn Bhd (ESQ) tidak bertentangan dengan akidah dan syariat Islam selain tidak mempunyai unsur-unsur yang membawa kesesatan, kata Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria.

Beliau berkata program itu juga tidak ada kena mengena dengan fahaman liberalisme dan pluralisme.

Menurutnya muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 16 Jun lepas memutuskan bahawa ESQ tidak bertentangan dengan akidah dan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Muzakarah (Jawatankuasa) Fatwa Kebangsaan oleh mufti-mufti seluruh Malaysia telah bersidang sebanyak tiga kali bagi membincang secara terperinci program ESQ,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengharamkan modul program berkenaan kerana ajarannya didapati menyeleweng daripada akidah dan syariat Islam.

Harussani berkata pengasas ESQ, warga Indonesia Ary Ginanjar Agustin juga dipanggil menjelaskan beberapa perkara dan perkataan yang kurang jelas dan menimbulkan kekeliruan berikutan buku ESQ yang ditulis dalam Bahasa Indonesia dan Bahasa Malaysia.

“Kita (Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan) berpuas hati dengan penjelasan (beliau) bahawa (ESQ) tidak ada kena mengena langsung dengan fahaman liberalisme dan pluralisme,” katanya.

Beliau berkata jawatankuasa itu turut menasihati ESQ supaya membentuk panel syariah dan syarikat itu melantik beberapa bekas mufti sebagai anggota panel itu.

ESQ menubuhkan panel syariah dan akidah yang diketuai bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Mustafa Abdul Rahman untuk memantau, menasihat dan menambah baik modul latihannya.

Harussani juga berkata beberapa mufti turut berjumpa dengan beberapa ulama Indonesia untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai program itu selain Majlis Ulama indonesia sendiri memperakui program itu baik.

“Modul program (ESQ) baik dalam menyedarkan peserta kepada ketuhanan, Islam dan peradaban,” katanya.

Program itu telah disertai 65,000 orang termasuk orang kenamaan, korporat, pegawai kerajaan serta tokoh-tokoh agama termasuk beberapa orang Mufti.

~Bernama
.....................................................................................

Haram ESQ: Dr Asri ingatkan tentang Talibanisasi

Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin (bawah) mengingatkan umat Islam di negara ini tidak terlalu melulu mengharamkan sesuatu tanpa mencari alternatif dan jalan penyelesaiannya terlebih dahulu.

"Jangan 'Talibanisasikan' (mengikut pendekatan Taliban) negara ini.

"Berhati-hatilah dengan pengharaman sesuatu perkara dan hak-hak rakyat," katanya ketika diminta mengulas isu pengharaman modul program motivasi anjuran ESQ Leadership Center Sdn Bhd (ESQ).

Berita Harian hari ini melaporkan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Wan Zahidi Wan Teh menandatangani warta yang mengharamkan program motivasi ESQ mengikut subseksyen 34(1) Akta Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan 1953), selepas perbincangan dengan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak.

Mengikut warta yang dikeluarkan, ia diharamkan kerana mendukung fahaman liberalisme, iaitu memahami dan mentafsir nas agama dan fahaman pluralisme yang mengajar semua agama adalah sama.

Bagaimanapun, Ketua Panel Syariah ESQ Datuk Mustafa Abdul Rahman yang juga bekas ketua pengarah Jabatan Agama Islam Malaysia (Jakim) pula dilaporkan menyangkal dakwaan wujud unsur penyelewengan dan kesesatan dalam program syarikatnya.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, membandingkan tindakan terbaru mufti itu dengan pengharaman Yoga suatu ketika dahulu, Dr Asri mempersoalkan pengharaman sesuatu secara menyeluruh sedangkan "kadang-kadang terdapat ruang bagi memperbaikinya".

"Mungkin pejabat mufti Wilayah Persekutuan ada hujah-hujahnya sendiri. Tetapi kalau boleh dibaiki (ESQ), kita baikilah. Masalah-masalah teknikal ini boleh dibetulkan. Ada jalan." katanya.

Ulama muda Umno: Ikuti sendiri program ESQ

Beliau yang juga penyarah kanan di Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, tindakan sebegitu boleh menyebabkan perasaan fobia terhadap agama Islam dalam masyarakat.

"(Akibatnya) orang beranggapan (dalam) agama ini semua tidak boleh. Sebenarnya banyak yang boleh, yang tidak boleh itu sikit sahaja.

"Kalau banyak tidak boleh, macam mana kita hendak hidup," katanya.

Sementara itu, ulama muda Umno Fathul Bari Mat Jahaya - yang baru memohon menjadi ahli dalam sebuah majlis penyerahan borang kepada presidennya Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini - berkata selain meneliti kandungan ESQ, pihak berkuasa perlu melihat pada method penyampaiannya.

"Kedua-dua (kandungan dan method penyampaiannya) kena benar. Sekiranya ESQ bertepatan, kami dokong. Sekiranya salah satu dari menyimpang kami bantah," katanya.

"Hendak mengatakan ESQ benar atau salah secara pasti, wallahu'alam. Tetapi yang diwartakan itu (berdasarkan) kandungannya, bagaimana dengan method?"

Sehubungan itu, Fathul mencadangkan, untuk berlaku adil kepada semua pihak, pengharaman itu hendaklah dibawa berbincang semula bagi menilai semula hujah-hujah yang telah dikemukakan.

"Perkara sebegini sepatutnya ada perbincangan dengan semua pihak. Wakil daripada ESQ sendiri patut dijemput dan membentangkan (tentang program mereka).

"Kalau boleh, anjurkan program pada ilmuan Islam sendiri untuk menilainya (sama ada menyimpang atau tidak)," katanya kepada Malaysiakini.


Related Posts with Thumbnails