
Shaariibuu
Setev (gambar kiri, kiri) yakin bahawa dirinya mampu mengaitkan kes
pembunuhan anak perempuannya dengan pembelian kapal selam, dan sudi
menampilkan diri sebagai saksi dalam perbicaraan di mahkamah Perancis.
"Seandainya
mahkamah Perancis meminta saya menjadi saksi, saya sudi untuk hadir
dan memberi keterangan saya di situ. Apa yang penting, saya
mendedahkan apa yang saya ketahui pada masa yang tepat," katanya dalam
satu sidang media bersama Pengarah SUARAM, Cynthia Gabriel, di Petaling
Jaya, tadi.
Shaariibuu Setev menambah, sebelum
anak perempuannya datang ke Malaysia, beliau bertanyakan sebabnya.
Altantuya pada ketika itu menunjukkan satu gambar yang diambil bersama
Najib dan Abdul Razak Baginda, malah mendakwa gambar itu diambil di
Perancis.
Shaariibuu Setev
menjelaskan, Altantuya pada ketika itu menuding kepada Najib dalam
gambar, berkata dirinya mahu datang ke Malaysia untuk bertemu dengan
Najib agar memutuskan sesuatu. "Saya beritahunya, tidak memadai untuk
berbuat begitu, tetapi beliau (Altantuya) tetap untuk meneruskan
(keputusannya)," kata Shaariibuu.

Beliau
mengakui dirinya tidak tahu pada ketika itu, bahawa orang yang
dituding dalam gambar itu adalah Najib, iaitu Timbalan Perdana Menteri
Malaysia ketika itu, dan menyandang jawatan Perdana Menteri
kemudiannya.
Pada 29 Jun 2007,
sepupu Altantuya Shaariibuu, iaitu Burma Oyunchimeg ketika tampil di
mahkamah, mendakwa dirinya pernah tengok gambar yang diambil bersama
Altantuya dengan Najib dan Abdul Razak Baginda. Bagaimanapun, gambar
tersebut bukan bahan bukti dalam mahkamah, dan belum terdedah sehingga
kini.
Pada Julai 2008, Najib
Razak yang pada ketika itu menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri,
menafikan bahawa dirinya kenal dan pernah berjumpa dengan Altantuya
Shaariibuu. Najib berkata tuduhan yang mengaitkan dirinya dengan
Altantuya adalah pembohongan yang berniat jahat, dengan motif untuk
mengalih pandangan rakyat.

Altantuya
Shaariibuu mati dibunuh pada usia 28 tahun. Wanita Mongolia ini tiba
di Malaysia pada Oktober 2006, dilaporkan hilang antara 18 hingga 19
Oktober. Pada 6 November, cebisan tulangnya yang diletupkan itu
dijumpai di hutan Shah Alam. Kes ini dibicarakan mulai April 2007.
Altantuya ialah seorang penterjemah, dikatakan memainkan peranan dalam
pembelian kapal selam oleh Malaysia daripada Perancis.