Jumaat, 16 Disember 2011

Jangan sokong penyenaraian FGVH membuta tuli - Anak

20 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 16 Dis: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mengingatkan mana-mana pihak agar tidak menyokong secara membuta tuli penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd (FGVH) ke Bursa Malaysia (BSKL).

Presidennya, Mazlan Aliman sebaliknya berkata, semua pihak harus berhujah secara berilmu dan mengkaji baik buruk penyenaraian FGVH terhadap peneroka Felda.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas memorandum Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kepada Felda semalam yang menyokong penyenaraian FGVH.

Memorandum tersebut juga dilaporkan mengutuk campur tangan Anak yang didakwa telah "menghasut" golongan peneroka untuk "menolak usaha murni kerajaan."

"Anak tak ada masalah, kita terima semua respons daripada pelbagai pihak (mengenai penyenaraian FGVH) cuma kita bukan nak beradu kekuatan.

"Isu yang paling penting ialah penyenaraian yang akan menyebabkan tanah peneroka dicagar. Sebab itu saya nasihatkan semua pihak berhujah atas ilmu, bukan atas sebab sentimen," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Mazlan juga menyifatkan tindakan Perkasa itu sebagai "sokongan terhadap individu" iaitu Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad, tanpa memahami duduk perkara sebenar.

"Sekali pun mereka nak sokong Isa Samad, biarlah bersandarkan hujah.

"Mereka kena faham kesan terhadap peneroka apabila penyenaraian ini berlaku. Jangan sampai sokong membawa rebah," kata beliau sambil menegaskan, Anak bukan orang luar yang cuba campur tangan urusan dalaman Felda seperti yang didakwa Perkasa.

Ini kerana, beliau sendiri adalah anak peneroka tetapi Datuk Abdul Rahman Bakar pemimpin Perkasa itu bukan ada apa-apa kaitan dengan peneroka pun.

Mazlan juga menyelar tindakan Perkasa yang menyifatkan Pengarah Besar Felda, Datuk Dzulkifli Abd Wahab sebagai "duri dalam daging".

Sebaliknya beliau berkata, Dzukifli telah berkhidmat dengan cemerlang sepanjang berada dalam Felda sehinggalah kehadiran Isa yang mencetuskan huru hara termasuk mencadangkan Dzulkifli bercuti dan mengambil kursus pengurusan.

"Itu satu tuduhan yang jahat kepada Datuk Dzul dan menidakkan pengorbananannya selama 30 tahun.

"Mereka buat sokongan membuta tuli terhadap Isa Samad sedangkan Isa datang tak sampai setahun ke Felda. Isa sebenarnya merupakan liabiliti kepada Felda," tegasnya yang juga Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Pusat.

Menurut laporan, KPF yang dipimpin Datuk Dzulkifli sebelum ia diambhil secara paksa oleh Isa berjaya memberikan fividen 15 peratus kepada semua ahli yang jarang-jarang dibuat oleh pemimpin sebelum ini.

Harakah Daily
Related Posts with Thumbnails