Rabu, 4 Mei 2011

Tanda Kematian: 100 hari sebelum hari mati

Tanda 100 hari sebelum hari mati
 
Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan
disedari oleh mereka yang dikehendakinya. Walaubagaimanapun semua
orang Islam akan mendapat tanda ini cuma sama ada mereka sedar atau
tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar.
Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan
mengalami getaran atau seakan-akan menggigil. Contohnya seperti daging
lembu yang baru saja disembelih di mana jika diperhatikan dengan
teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar. Tanda
ini rasanya lazat dan bagi mereka yang sedar dan berdetik di hati
bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti
dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini. Bagi mereka
yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan
tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akan lenyap begitu sahaja
tanpa sebarang manfaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini
maka ini adalah peluang terbaik untuk memanfaatkan masa yang ada untuk
mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau
ditinggalkan sesudah mati.

Tanda 40 hari sebelum hari mati

Tanda ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita
akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita
akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka
malaikat maut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat
persediaannya ke atas kita, antaranya ialah ia akan mula mengikuti
kita sepanjang masa. Akan terjadi malaikat maut ini akan
memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang
terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun
malaikat maut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut
nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.

Tanda 7 hari

Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan
musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara
tiba-tiba ianya berselera untuk makan.

Tanda 3 hari

Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita
iaitu di antara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka
berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi
banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan
kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi
dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan-lahan jatuh dan ini
dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan
layu di mana bahagian hujungnya akan beransur-ansur masuk ke dalam.
Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan
sukar ditegakkan.

Tanda 1 hari


Akan berlaku sesudah waktu Asar di mana kita akan merasakan satu
denyutan di sebelah belakang iaitu di kawasan ubun-ubun di mana ini
menandakan kita tidak akan sempat untuk menemui waktu Asar keesokan
harinya.

Tanda akhir


Akan berlaku keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di
bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan
naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap
kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikat
maut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah
menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.

Allah berfirman mahfumnya “Katakanlah (wahai Muhammad); Nyawa kamu
akan diambil oleh Malikil Maut yang ditugaskan berbuat demikian ketika
habis ajal kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu
(untuk menerima balasan)” As Sajadah-11
 https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgrduH-4XnN4farpIz9W-JqD35hiNq_QDfIYBKunZuAsfzo0QW2VlBGVLx1dst_mIN0bh8cW-swAXOBWJbKDo03LEaVbR1Glyt5inqK1rZ3wxU5MQcVwL2Sw0SOByHSqHNgwYqbAyoxRUA/s320/kubur.jpg
 
InsyaAllah sahabat, sama-sama kita perbaiki diri sebelum ajal
menjemput kita pergi buat selamanya. Wassalam...
Related Posts with Thumbnails