TMI | PUTRAJAYA, 4 Mei – Tun Dr Mahathir Mohamad memberi amaran kematian Osama bin Laden tidak mungkin petanda sudah berakhirnya keganasan atau rangkaian Al-Qaeda, sambil meramalkan tindakan balas akan terus berkembang di seluruh dunia.
Perdana menteri paling lama memegang tampuk kerajaan ini berkata, operasi dikendalikan oleh pasukan elit AS awal kelmarin adalah satu “tindakan tidak bertamadun.”
“Ya, dia mungkin bersalah tetapi menghantar satu pasukan untuk membunuh satu orang bukan caranya.
“Jika dia dapat ditangkap, tangkap dia. Tetapi mereka masuk, membunuh seorang yang tidak bersenjata dan kemudian mencampakkan jenazah ke dalam laut,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.
“Saya berpandangan bahawa ini dilakukan oleh mereka tidak bertamadun,” kata Dr Mahathir (gambar) lagi.
Semalam, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, kenyataan kononnya dunia akan lebih selamat dengan kematian Osama di tangan pasukan elit AS adalah pandangan tidak cermat.
Selain itu tegas beliau, kenyataan seperti itu menampakkan diri pihak yang mengeluarkan pandangan berkenaan sebagai penyokong AS.
“Jika dunia lebih selamat dengan kematian Osama, adakah dunia juga lebih selamat dengan kewujudan Amerika?” kata Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan.
Nik Aziz tidak menyebut nama pihak berkenaan yang mengeluarkan kenyataan sedemikian.
Dalam kenyataannya kelmarin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berharap kematian Osama dalam satu operasi ketenteraan AS di Pakistan dapat membawa dunia ke arah keamanan dan keharmonian sejagat.
Namun, beliau memberi amaran bahawa perjuangan kumpulan yang terlibat dalam beberapa serangan pengganas di seluruh dunia itu tidak berkisar kepada seorang individu sahaja.
“Saya harap ia (kematian Osama) akan menjurus kepada keselamatan dan keamanan sejagat yang merupakan tanggungjawab bersama,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula berharap kematian pengasas Al-Qaeda itu akan membuatkan dunia menjadi lebih aman, selamat dan adil.
Beliau juga berharap kematian Osama akan dapat memulihkan semula nama baik Islam yang tercalar ekoran imej negatif dibawa oleh pengasas Al-Qaeda itu.
Beliau bagaimanapun mengingatkan kepada semua pihak bahawa meskipun kematian Osama memberi tamparan hebat kepada al-Qaeda, namun itu tidak bermakna pergerakan tersebut akan terkubur sama sekali sebaliknya ia tetap boleh disusun serta digerakkan semula.
“Kita tidak boleh anggap segala-galanya telah tamat ekoran kematian Osama tetapi jelas kehilangannya merupakan satu kehilangan bagi pihak Al-Qaeda terutama dari segi kekuatan kepada pergerakan itu.
“Di peringkat negara pula tiada tanda pergerakan Al-Qaeda wujud. Namun begitu pihak polis akan terus berada dalam keadaan berjaga-jaga termasuk mengesan jika ada apa-apa tindakan daripada mana-mana pihak untuk menunjukkan simpati kepada kematian Osama,’’ katanya.