Sayap PAS itu berpendapat menggunakan sistem undi pos terhadap golongan profesional terbabit menutup lagi ruang demokrasi negara yang kian dipertikaikan rakyat.
“Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menegaskan undi pos adalah talian hayat kerajaan Umno-BN.
“Cadangan SPR seakan mahu menambah jangka hayat pemimpin Umno-BN terutama di kawasan yang mereka tidak selamat. Apakah SPR mahu menjadi sebuah lagi parti komponen BN dengan menjalankan usaha yang licik buat membantu memenangkan Umno-BN dalam PRU ke-13?” kata Ketua Penerangan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan Fadhil Osman dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Sambil menegaskan sistem undi pos telah lama dipertikaikan rakyat, pemimpin muda ini mempersoalkan apakah jaminan SPR ketelusan undi pos dapat dijalankan dengan baik memandangkan ada pengalaman anggota tentera yang tidak dapat mengundi pos semasa mereka bertugas kerana telah diundi oleh pihak atasan mereka.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar semalam dipetik berkata, pihaknya sedang menimbang untuk meletakkan golongan yang sibuk bertugas semasa pilihan raya dalam kategori pengundi pos. Antara yang ditimbangkan para doktor, jururawat, juruterbang dan wartawan.
Kata beliau, keutamaan untuk berbuat demikian akan diberikan kepada golongan itu memandangkan mereka tidak dapat mengundi hanya disebabkan kesibukan membantu melancarkan rutin masyarakat seharian termasuk semasa pengundian.
Mengikut Akta Pilihan Raya, hanya empat kategori rakyat layak membuang undi pos iaitu anggota tentera, kakitangan awam yang bertugas di luar negara, pelajar sepenuh masa dan keluarga kumpulan berkenaan.
“Dalam pilihan raya kecil di Bagan Pinang, daftar pemilih SPR tidak sama dengan daftar pemilih tentera, serta kertas undi boleh dserahkan di mana-mana termasuk di kompleks beli-belah.
“Bagaimana kertas undi yang dipos dua hari sebelum mengundi mampu dipulangkan balik tepat pada masanya tanpa berlau kesilapan,” kata Fadhil sambil menambah, hampir setiap pilihan raya kecil atau umum, kemenangan besar calon BN diraih melalui undi pos dan terlalu sedikit yang mengundi calon pembangkang.
“Mungkinkah semua anggota tentera adalah ahli BN atau pengundi tegar BN di mana-mana kawasan?” katanya lagi.
Dalam kes anggota tentera, kata beliau, pihaknya mempersoalkan keperluan SPR menjadikan golongan ini sebagai pengundi pos memandangkan suasana negara yang tidak mendesak sedemikian.
“Dalam keadaan aman dan tenteram sebeginilah, ruang demokrasi perlu dibuka seluas-luasnya dengan memberi peluang anggota tentera mengundi sebagaimana pengundi yang lain,” katanya.
Menurut Fadhil, alasan SPR mahu menjadikan kumpulan profesional sebagai pengundi pos hanya semata-mata mahu memberi peluang kepada mereka untuk mengundi kerana terlalu sibuk bekerja adalah alasan yang tidak boleh diterima.
“Golongan ini bekerja mengikut jadual dan syif.
“Dewan Pemuda tidak fikir sekiranya mereka turun mengundi mengikut jadual sepertimana golongan profesional yang lain, menyebabkan operasi kerja mereka terjejas.
“Kalaulah mereka tidak berpeluang mengundi kerana sedang bekerja, mereka tidaklah mewakili golongan majoriti yang perlu dijadikan sebagai pengundi pos,” katanya lagi.
Dalam hal ini, kata beliau, SPR perlu mengelak hari bekerja sebagai hari mengundi sepertimana yang dibuat ketika beberapa pilihan raya kecil baru-baru ini.
“Ini lebih menyukarkan semua golongan bekerja untuk turun mengundi,” kata beliau lagi.
Jelas beliau, sekiranya SPR berkeras juga mahu menjadikan golongan doktor, jururawat, juruterbang dan wartawan sebagai pengundi pos, Dewan Pemuda PAS mengesyorkan agar menjadikan semua golongan profesional sebagai pengundi pos.
“Bukan setakat itu, mahasiswa yang layak mengundi, penoreh getah, pekebun, pemandu teksi dan bas, nelayan, peniaga dan lain-lain juga boleh dijadikan sebagai pengundi pos memandangkan semua golongan ini sibuk bekerja dan tidak mampu meninggalkan tempat kerja mereka untuk turun mengundi.
“Dengan demikian, mudahlah BN meraih kemenangan besar dalam PRU ke-13 akan datang,” katanya lagi.