Isnin, 6 Disember 2010

Majlis Fatwa Kebangsaan “kurang bijak” - Mufti Perlis

KUALA LUMPUR, 6 Dis: Mufti Perlis Dr Juanda Jaya menyifatkan Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan “kurang bijak”, malah kelihatan tergesa-gesa dalam membincangkan isu bukan Islam memetik ayat-ayat al-Quran sebagaimana disaksikan ketika kongres PKR baru-baru ini.

Tokoh agama itu berkata terdapat banyak isu agama yang memerlukan tindakan segera dan menyeluruh agensi-agensi agama dan Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan.

“Saya tidak hadir mesyuarat Fatwa Kebangsaan yang bincangkan isu bukan Islam membacakan ayat-ayat al-Quran. Saya kurang bersetuju keputusan mesyuarat itu yang kurang bijak dan memilih-milih dalam membincangkan isu berkaitan Islam.

“Isu ini amat remeh untuk dibincangkan dengan tergesa-gesa dengan belanja wang yang banyak,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Kata beliau, terdapat banyak isu lain yang wajar disegerakan, tetapi majlis tersebut tidak mengambil tindakan segera untuk menangani perkara-perkara terbabit.

“Ini akan menjejaskan kredibiliti Majlis Fatwa,” kata beliau yang turut menganggap bahawa keputusan majlis itu malam Jumaat lalu tidak harus dianggap sebagai pendirian “sebulat suara” kerana ada mufti yang tidak dapat hadir.

“Majlis Fatwa sepatutnya membincangkan semua isu yang dibangkitkan oleh umat seperti ada yang hingga timbul demonstrasi umat seperti isu (Festival Fesyen Islam) IFF yang menayangkan nama Nabi Muhammad s.a.w. pada dada pakaian peragawatinya.

“Keputusan halang bukan Islam membaca al-Quran ini akan mewujudkan polarisasi yang besar antara agama di Malaysia dan akan menambah lagi kekeliruan terhadap Islam.

“(Malah) ini akan menjauhkan lagi mereka daripada orang Islam,” kata beliau sambil menambah jawatankuasa tersebut sewajarnya bersikap objektif dan tidak berpihak dalam semua isu membabitkan umat Islam agar ia dihormati.

Laporan media menyebut Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan sebulat suara mahu perbuatan orang bukan Islam membaca dan membuat huraian terhadap teks al-Quran secara sewenang-wenangnya dihentikan bagi mengelak timbul keresahan dan perpecahan dalam masyarakat.

Majlis itu yang mengadakan mesyuarat khas di Sepang memberikan nasihat dan teguran kepada seluruh masyarakat termasuk bukan Islam bahawa teks suci al-Quran tidak boleh digunakan untuk kepentingan tertentu termasuk bagi tujuan peribadi dan politik.

Pengerusinya, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin berkata, meskipun ulama tidak melarang orang bukan Islam membaca al-Quran, namun situasi semasa membabitkan tindakan beberapa pemimpin bukan Islam parti pembangkang menghuraikan teks kitab suci itu telah menimbulkan kekeliruan dan merenggangkan hubungan di kalangan umat Islam sendiri.

“Semua mufti melahirkan rasa tidak setuju dengan situasi yang berlaku sekarang dan perkara yang berlaku sejak 2009 termasuk isu orang bukan Islam memasuki rumah ibadat orang Islam dan terbaru tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri Hutan Melintang, S. Kesavan membaca terjemahan petikan ayat al-Quran secara salah,” kata beliau.

Oleh kata beliau, pihkanya mahu mengambil langkah menggunakan kaedah sad zaraik iaitu mencegah atau mengelakkan keraguan.

“Maka kita rasa elok elakkan menggunakan teks al-Quran di atas pentas politik dengan kepentingan tertentu apatah lagi membaca maksud al-Quran secara tidak tepat.

“Mentafsirkan al-Quran tidak boleh dibuat secara sambil lewa atau spontan di atas pentas ceramah tetapi perlu ada kaedah tertentu yang mesti difahami daripada awal,” kata beliau.

Seramai 10 ahli panel muzakarah tersebut hadir.

Laporan itu menyebut muzakarah khas yang berlangsung selama empat jam itu juga meneliti semua rakaman siri ucapan pemimpin bukan Islam yang membaca dan menghuraikan terjemahan teks al-Quran selain reaksi daripada umat Islam tentang perkara itu.

Pertemuan itu diadakan ekoran perkembangan pada Kongres Nasional PKR di mana Kesavan, perwakilan dari Perak, memetik makna Surah Ali Imran semasa membahaskan satu usul.

Tindakan Kesavan yang membacakan terjemahan yang salah daripada Ayat 190 dan 191 Surah Ali-Imran mendapat kecaman daripada beberapa pemimpin kerajaan termasuk Jamil Khir, Penasihat Agama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Abdullah Md Zin dan bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Jamil Khir berkata, penafsiran ayat al-Quran yang tidak betul di depan khalayak ramai boleh menjadi satu penghinaan yang serius terhadap Islam dan tidak boleh dibiarkan.

Justeru tegasnya, para ilmuwan agama wajib menegur dan tidak boleh sekadar menutup mata supaya setiap kesilapan dapat dibetulkan sekali gus memastikan pihak yang melakukan kesalahan tidak mengulangi perbuatan yang sama pada masa depan.

Bagaimanapun Mursyidul Am PAS yang juga Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, orang bukan Islam dibolehkan untuk memetik ayat-ayat al-Quran untuk merujuk sesuatu perkara sebagaimana disaksikan di Kongres Nasional PKR.

Tambah Nik Aziz, berdasarkan pengalaman berceramah dengan pemimpin DAP, selalunya mereka terlebih dahulu merujuk kepadanya sebelum berucap.

Related Posts with Thumbnails